Di tengah terik matahari petang yang membahang hingga terasa membakar pipi, sekumpulan 15 mahasiswa dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkumpul berhampiran pintu masuk kampus cawangan Shah Alam hari ini untuk mengadakan flashmob mendesak integriti institusi itu dipelihara.

Himpunan yang dianjurkan oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) itu turut dihadiri wakil pelajar dari cawangan UiTM lain seperti UiTM Dungun dan UiTM Kedah.

Bercakap mewakili peserta flashmob, alumni UiTM Muhammad Hazim Mohd Suhaimi enyelit satu baris ayat yang tidak asing lagi dengan warga UiTM tetapi dengan sedikit nasihat di hujungnya: “Pastikan UiTM betul-betul di hatiku, bukan di poket ku,” ucapnya.

Dia menegaskan bahawa kehadiran mereka bukanlah bertujuan mempolitikkan isu dakwaan kerugian UiTM Holdings yang dilaporkan mencecah ratusan juta ringgit.

Sebaliknya, kata Muhammad Hazmin, mereka mahu dakwaan berkenaan disiasat dengan telus bagi menjaga nama baik UiTM.

“UiTM ini merupakan institusi keramat, institusi anak-anak bumiputera. Jadi kita nak perjelaskan ataupun kita nak minta pihak UiTM untuk berikan kebebasan kepada pihak SPRM menjalankan siasatan mereka dalam apa-apa sahaja isu yang melibatkan UiTM," katanya.

Sementara itu, sewaktu sidang media, Muhammad Hazim berkata pihak mereka mengemukakan dua perkara utama.

Pertama, mereka menegaskan akan menghormati sistem keadilan dan perundangan negara dan bersedia membantu siasatan sekiranya diperlukan.

Kedua, mereka menyeru semua mahasiswa daripada pelbagai latar belakang universiti, Kolej MARA, dan TVET, termasuk warga serta staf UiTM, agar berani tampil ke hadapan memperjuangkan institusi itu.

"Jadi flashmob pada hari ini merupakan satu pergerakan awal di mana kita cuba beri pendedahan dahulu kepada seluruh masyarakat supaya suara mahasiswa dan isu ini tidak diketepikan ataupun didiamkan dalam mana-mana platform," ujarnya.

"Kami bersedia dipanggil sekiranya pihak perundangan negara termasuk badan-badan siasatan seperti PDRM dan SPRM memanggil ataupun memerlukan bantuan mahasiswa.

“Kami akan cuba sehabis baik untuk membantu dalam apa jua bentuk sekalipun, tidak kira dalam bentuk dokumentasi atau rekod-rekod yang sedia ada," tambahnya.

Muhammad Hazim juga memberitahu bahawa mereka akan menubuhkan satu gerakan yang digelar 'Selamatkan UiTM' yang akan dipelopori oleh para mahasiswa bagi membantu pihak siasatan dan juga memberi pandangan, hasrat dan aspirasi yang dipegang oleh mahasiswa.

Himpunan ringkas itu turut diwarnai dengan sorakan semangat daripada para peserta yang melaungkan "Hidup mahasiswa!" dan "Bangkit mahasiswa!" sebagai simbolik ketegasan anak muda mempertahankan integriti universiti awam berkenaan.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan memulakan siasatan berhubung kerugian UiTM Holdings Sdn Bhd pada 2023.

Siasatan merangkumi pelbagai isu, termasuk pembangunan projek solar 50 megawatt di Gambang, Pahang, yang melibatkan pembayaran RM42 juta bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek itu dan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Semalam, bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn Bhd Azlizan Fadzil, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah melibatkan RM37.37 juta pada 2017.

Berdasarkan pertuduhan, Azlizan sebagai CEO UiTM Holdings diamanahkan penguasaan RM37,374,612.68 yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar dengan saiz 50 megawatt (MW) di Gambang, Pahang.

Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta terbabit dengan secara tidak jujur menyalahgunakannya dengan membuat pelbagai pembayaran lain selain daripada tujuan ditetapkan.