'Apa punya logik' - Loke enggan layan desakan 'ceplos' susulan kontroversi Zetrix AI
Anthony Loke yang sudah meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan enggan melayan desakan di media sosial yang mengulangi gesaan meletak jawatan terbaru susulan kegagalan syarikat teknologi Malaysia, Zetrix AI yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG melunaskan bayaran kutipan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM314 juta.
Setiausaha agung DAP itu berkata desakan berkenaan dibuat oleh "ceplos" ataupun cybertrooper di media sosial selepas pihaknya bertindak menuntut wang yang sepatutnya dijelaskan MyEG kepada kerajaan.
"Sama ada berkaitan dengan parti mana-mana, itu tidak ada dalam pertimbangan saya.
"Di media sosial, bila tindakan (menuntut wang dari MyEG) diambil, ceplos tu minta saya letak jawatan...yang tak bayar syarikat (MyEG), apa punya logik ni," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Pada 2 Okt lalu, JPJ mengumumkan akan menggantung perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak JPJ, berkuat kuasa 12.01 pagi, pada 5 Oktober.
Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan, serta kedudukan obligasi yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.
“Selaras dengan keputusan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MyEG akan digantung mulai tarikh berkenaan.
“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan.
Penggantungan itu dibuat selepas pendedahan oleh media Singapura yang mendakwa MyEG berhutang dengan kerajaan lebih RM200 juta.
The Straits Times (ST) melaporkan, dokumen rasmi yang dilihat akhbar Singapura itu menunjukkan Zetrix gagal menyerahkan kutipan berkenaan sejak permulaan kontrak tiga tahun dengan JPJ pada Mei 2023.
Mengulas lanjut, Loke menepis laporan media bahawa MyEG gagal membuat bayaran berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Sebaliknya, Loke berkata syarikat berkenaan gagal menjelaskan bayaran JPJ sejak Mei tahun ini hingga 30 Sep lalu sebanyak RM314 juta.
"Saya nak betulkan sedikit laporan-laporan media bertanyakan bertahun-tahun mengapa JPJ dan MOT tidak mengambil tindakan sebelum ini, tiga tahun ini tidak mengambil tindakan.
"Tunggakan ini bermula bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu. Sebelum bulan Mei, memang dulu-dulu pun memang ada tunggakan, tapi selepas kita keluarkan surat, bagi notis peringatan, mereka bayar.
Tetapi tunggakan yang tidak dibayar ini sebanyak RM314 juta ini adalah sejak bulan Mei tahun ini," katanya lagi.
Loke berkata, Kementerian Kewangan telah memberikan notis lebih 30 kali kepada syarikat berkenaan untuk melunaskan pembayaran.
Mengulas lanjut, Loke berkata apa yang berlaku ketika ini tidak memberi kesan kepada penggunaan dalam urusan pembayaran kepada JPJ.
Tegas Loke, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MyEG bagi memastikan wang pembayaran kepada JPJ itu diperoleh kembali.
/file/attachments/orphans/AnnessaTan1_502210.jpg)
