PARLIMEN | Setelah sedekad projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah berjalan dan kosnya meningkat RM1 bilion melebihi nilai kontrak asal, Jabatan Audit Negara telah mendedahkan pelbagai kelemahan dari segi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan yang menyumbang kepada kelewatan projek berskala besar itu.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2026 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini, hanya empat daripada 35 pakej kerja projek tersebut—atau 11.4 peratus—telah siap setakat 31 Mac, manakala baki 31 pakej yang bernilai RM16.3 bilion masih dalam peringkat pelaksanaan.

Ini berlaku walaupun pengurusan projek pembinaan lebuh raya tersebut telah dipindahkan daripada Rakan Penyampai Projek (PDP) kepada Kementerian Kerja Raya pada 22 September 2019.

“Daripada 31 projek dalam pelaksanaan, sebanyak sembilan pakej kerja merupakan projek sakit, 13 pakej kerja lewat jadual serta sembilan pakej kerja mendahului jadual.

“Antara isu pengurusan projek yang dikenal pasti sebagai ketakteraturan serius ialah kelulusan Arahan Perubahan Kerja (APK) melebihi had kuasa berjumlah RM513.99 juta dan kelewatan tuntutan kos utiliti bagi projek siap berjumlah RM41.37 juta,” menurut jabatan itu dalam rumusan auditnya.

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bermula pada 11 April 2016, meliputi jarak keseluruhan 706km dari Sindumin ke Kota Kinabalu dan Kudat; Ranau ke Batu 32 Sandakan; dan Batu 32 Sandakan ke Tawau.

Projek itu pada asalnya dijadualkan siap dalam tempoh 69 bulan, iaitu menjelang 31 Disember 2021.

Walau bagaimanapun, kelewatan yang berpanjangan telah menyebabkan jumlah kos kontrak bagi Fasa 1 meningkat daripada RM17.91 bilion kepada RM18.96 bilion — peningkatan sebanyak RM1.05 bilion atau 5.9 peratus.

Ketidakatuhan undang-undang

Audit mengenal pasti beberapa kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek sebagai faktor penyumbang, termasuk kegagalan memastikan tapak projek siap sedia sebelum kerja dimulakan, kelemahan pelaksanaan di bawah PDP, kekurangan prestasi oleh kontraktor dan perunding, perubahan reka bentuk serta pemindahan utiliti.

Jabatan itu juga mendapati pemantauan projek melalui Sistem Maklumat Projek yang diwujudkan oleh PDP adalah tidak berkesan.

"Penggunaan sistem yang rendah, insiden kehilangan data dan kelemahan dalam menetapkan dasar penggunaan telah menyebabkan pemantauan keseluruhan projek Fasa 1A melalui Sistem Maklumat Projek menjadi tidak berkesan," katanya.

Audit itu juga mengesan beberapa kejadian ketidakpatuhan terhadap undang-undang, peraturan dan garis panduan dalam projek tersebut.

Antaranya ialah arahan perubahan kerja (WVO) bernilai melebihi RM1 juta yang diluluskan oleh jawatankuasa yang mempunyai had kuasa kelulusan RM1 juta, dan bukannya dirujuk kepada Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya atau Ketua Setiausaha Perbendaharaan seperti yang disyaratkan.

Audit mendapati bahawa 57 WVO yang berjumlah RM513.99 juta, yang melibatkan 15 pakej kerja Fasa 1A, telah diluluskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Penyelia (SO) melebihi had kelulusan yang ditetapkan oleh Perbendaharaan.

"Daripada 57 WVO, 11 daripadanya yang berjumlah RM14.16 juta tidak dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan, manakala 46 lagi yang berjumlah RM499.83 juta tidak dikemukakan untuk kelulusan Ketua Setiausaha Perbendaharaan," katanya.

Antara ketidakteraturan kewangan lain, pihak audit mendapati dana kerajaan sebanyak RM6.03 juta telah dibayar bagi levi CIDB yang sepatutnya ditanggung oleh kontraktor.

Ia juga mendapati terdapat pembayaran tidak teratur berjumlah RM163.64 juta yang melebihi had dibenarkan akibat kelewatan dalam memuktamadkan dokumen kontrak.

Jabatan audit mengesyorkan beberapa langkah kepada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sabah bagi menangani masalah yang dikenal pasti.

Agensi-agensi tersebut diarahkan untuk memastikan langkah-langkah bagi menyelesaikan isu melibatkan penyediaan tapak projek dan pampasan, pemindahan utiliti, perubahan reka bentuk, pelantikan kontraktor serta pemulihan projek dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

"Ini bagi memastikan projek dapat disiapkan selaras dengan pelan pemulihan yang ditetapkan," kata jabatan itu.

Berhubung isu WVO, ia menggesa kementerian dan agensi negeri untuk memastikan semua WVO dikemukakan kepada dan diluluskan oleh pihak berkuasa pelulus yang sewajarnya, selaras dengan garis panduan Perbendaharaan.

Mereka juga digesa untuk menyemak semula kontrak yang masih berkuat kuasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelaraskan had kelulusan dengan keperluan Perbendaharaan melalui pindaan kontrak yang sah, tertakluk kepada persetujuan pihak-pihak terlibat dan semakan undang-undang.

Jabatan itu turut mengesyorkan agar pemantauan projek melalui Sistem Maklumat Projek dioptimumkan sekiranya pelanjutan perkhidmatan sistem tersebut diluluskan.

Langkah ini, menurutnya, penting bagi memastikan objektif projek tercapai dan kerajaan memperoleh nilai terbaik bagi perbelanjaan yang dilakukan.