Kerajaan Pahang tidak pernah menolak sebarang cadangan untuk bersemuka dengan Berjaya Hills Resort Bhd (Berjaya Hills) bagi merungkai kemelut membabitkan penguatkuasaan ke atas tanah diusahakan syarikat itu di Bukit Tinggi, dekat Bentong.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan kerajaan negeri juga terbuka untuk berbincang namun ia perlu berasaskan kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Dia turut menjelaskan, terpulang kepada Berjaya Hills jika mahu meneruskan pendengaran kes tuntutan kerajaan Pahang itu di mahkamah.

"Itu terpulang kepada dialah, kita ambil tindakan berlandaskan undang-undang.

"Kerajaan negeri terbuka untuk perbincangan tetapi (perbincangan) masih berasaskan dan berpaksikan kepada undang-undang, ada peraturan (jadi) ikut peraturan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Terbuka Kampung Sempadan, dekat Lanchang, Temerloh, hari ini.

Wan Rosdy mengulas demikian ketika ditanya mengenai kenyataan dibuat Berjaya Hills yang mendakwa tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya oleh pihak berkuasa Pahang adalah “tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima”.

Tindakan itu – yang diambil susulan pertikaian berhubung kenaikan mendadak cukai tanah – juga didakwa menjejaskan jangkaan sah syarikat terbabit untuk meneruskan perniagaan dan operasinya secara aman.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan pelucuthakan premis pada 28 Sept lalu.

Sementara itu ketika ditanya jika kerajaan Pahang akan melaksanakan pengauditan kawasan peranginan diusahakan Kumpulan Berjaya di Pulau Tioman, dekat Rompin selepas ini, Wan Rosdy memaklumkan perkara itu bukan menjadi keutamaan sekarang.

"Buat masa ini kerajaan negeri fokus dulu apa yang berlaku di (Bukit Tinggi) Bentong," katanya.

Kumpulan Berjaya mempunyai satu resort bertaraf lima bintang di Kampung Tekek, Pulau Tioman sejak 1985.

Sementara itu, Berjaya Hills pula mengendalikan hotel dan resort di Bukit Tinggi, berhampiran Bentong, termasuk Colmar Tropicale, The Chateau Spa & Wellness Resort dan Berjaya Hills Golf Resort.

Buat masa ini, Berjaya Hills memperoleh penangguhan sementara terhadap pelucuthakan yang meliputi kuarters kakitangan, dobi pusat dan kemudahan penting lain.

Syarikat itu memohon supaya kesnya didengar di Mahkamah Pesekutuan selepas gagal di peringkat mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Pertikaian itu berpunca daripada kenaikan cukai tanah sebanyak 13 kali ganda ke atas hartanah Berjaya Hills kepada RM33.7 juta pada 2020 berbanding tahun sebelumnya. Syarikat terbabit menyifatkan ia sebagai “luar biasa dan belum pernah berlaku” di Malaysia.

Berdasarkan kronologi diberikan syarikat itu, jumlah berkenaan kemudian dikurangkan kepada RM25.75 juta, namun ia masih kenaikan hampir 10 kali ganda selepas 11 rayuan dikemukakan kepada kerajaan Pahang antara April 2020 hingga Dis 2022.

Berjaya Hills terus mengemukakan rayuan namun gagal sebelum mencabar semakan cukai tanah itu di mahkamah tinggi pada April 2023.

Usaha itu gagal apabila mahkamah memutuskan bahawa ia tidak boleh campur tangan dalam keputusan dasar kerajaan negeri berhubung semakan kadar cukai tanah.

Syarikat terbabit kemudian membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan tetapi tewas dalam keputusan pada Julai lalu.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dibuat pada Ogos lalu dengan pendengaran dijadualkan pada 8 Dis ini.