Bersama bentang belanjawan bayangan 2027 malam ini
Dua hari sebelum Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen, Parti Bersama Malaysia (Bersama) terlebih dahulu tampil dengan belanjawan bayangannya malam ini.
Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, dijangka mengemukakan cadangan parti itu pada pembentangan yang akan berlangsung di Ibu Pejabat Bersama di Puchong, Selangor pada 8 malam.
Menurut Rafizi, belanjawan bayangan itu menggariskan pendekatan alternatif dalam menangani cabaran utama negara dan telah melalui proses ekonometrik bagi memastikan angka yang digunakan berasaskan realiti.
“Beberapa anjakan besar dicadangkan, yang mencabar pendekatan ‘business-as-usual’ dan ‘conventional wisdom’ yang menjadi asas belanjawan-belanjawan kerajaan sebelum ini.
“Belanjawan 2027 berkemungkinan belanjawan terakhir pentadbiran Anwar Ibrahim sebelum PRU ke-17, dan sebarang program gula-gula yang menelan peruntukan tinggi akan membebankan kedudukan kewangan negara serta generasi masa depan.
“Pembentangan (belanjawan bayangan) akan disusuli dengan satu forum yang melibatkan tokoh-tokoh ekonomi bebas,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Menteri Ekonomi itu sebelum ini, antara lain, mencadangkan pengelasan kumpulan pendapatan T15 digunakan dalam pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/03/69f464a3ddcb957d9f71d80f69b017e2.jpg)
Ketika berada dalam Kabinet Kerajaan Madani, Rafizi turut memperkenalkan Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai antara langkah bagi membolehkan subsidi diesel disasarkan kepada kumpulan yang layak.
Selepas meninggalkan kerajaan, Rafizi menegaskan Putrajaya sepatutnya mampu mengurus kejutan harga minyak global dengan lebih baik sekiranya sistem subsidi bersasar dilaksanakan lebih awal berasaskan Padu.
Katanya, kerajaan bersetuju pada 2023 untuk mengapungkan harga minyak dan melaksanakan subsidi melalui pindahan tunai bagi memastikan bantuan hanya dinikmati kumpulan berpendapatan yang layak.
Pun begitu, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pertimbangan politik menghalang pelaksanaan rancangan berasaskan Padu berkenaan.
Rafizi, yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, sebelum ini antara pemimpin yang aktif mengemukakan belanjawan alternatif ketika berada dalam pembangkang, termasuk ketika PKR menyediakan cadangan belanjawan bagi 2012, 2015 dan 2016.
Sementara itu, Rafizi berkata orang ramai dijemput menghadiri pembentangan belanjawan alternatif 2027 itu.
Dokumen penuh belanjawan berkenaan juga akan dimuat naik ke laman sesawang Bersama bermula 8 malam ini, katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, penganalisis dilaporkan menjangkakan Kerajaan Madani akan membentangkan Belanjawan 2027 bernilai sehingga RM450 bilion.
Kementerian Kewangan (MoF) pula berkata Belanjawan Madani kelima itu dirangka dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi Madani dalam mengemudi negara.
Menurut MoF, Belanjawan Madani 2027 merupakan belanjawan milik rakyat yang diperhalusi dan direncana berasaskan keberhasilan, dengan mengambil kira maklum balas rakyat, suara komuniti perniagaan serta pandangan pihak berkepentingan.
/file/attachments/orphans/bersamapc1_645412.png)
