Gaji median profesional RM6,000, boleh dapat hingga SG$7,000 di S'pura
Satu kajian yang dijalankan pada 2024 mendapati 94.5 peratus responden menyatakan gaji yang lebih tinggi dan potensi pendapatan lebih tinggi sebagai faktor utama yang menarik mereka untuk bekerja di Singapura.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata berdasarkan laporan survei gaji dan upah 2025 oleh Jabatan Perangkaan mendapati median gaji golongan profesional ialah RM6,124 sebulan.
Sebagai perbandingan, kajian TalentCorp mendapati sebahagian besar profesional Malaysia yang bekerja di Singapura memperoleh antara SG$4,001 (RM12,773) hingga SG$7,000 (RM22,348) sebulan.
Kajian sama mendapati profesional Malaysia yang mempunyai kemahiran khusus dan pengalaman, terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), menerima pendapatan melebihi SG$10,000 (RM31,926) jika bekerja di republik itu.
"Sehubungan itu kerajaan memacu kenaikan gaji tempatan melalui Dasar gaji Progresif (DGP) yang menggalakkan majikan menawarkan kenaikan gaji yang selari dengan pengingkatan kemahiran dan produktiviti pekerja, dengan sokongan insentif kerajaan," katanya.
Program itu bertujuan meningkatkan gaji pekerja yang berpendapatan di bawah RM5,000.
Sementara itu, katanya, Kesuma melalui TalentCorp mengambil pendakatan menyeluruh dalam menangani isu penghijrahan bakat dengan memperkukuh daya tarikan ekosistem pekerjaan tempatan melalui program 'knowledge worker' di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan program kepulangan pakar.
Insentif itu mengenakan kadar cukai pendapatan individu tetap sebanyak 15 peratus kepada mereka yang bekerja dengan syarikat yang beroperasi di zon berkenaan.
Langkah itu bertujuan menarik syarikat yang berpangkalan di Singapura untuk berpindah ke Johor bagi mengurangkan kos operasi, di samping meningkatkan gaji pekerja tempatan.
Sebagai perbandingan, kadar cukai pendapatan bagi individu yang memperoleh median gaji profesional RM6,124 sebulan di Malaysia ialah 19 peratus.
Selain itu, Program Kepulangan Pakar turut menawarkan kadar cukai pendapatan tetap sebanyak 15 peratus untuk menarik golongan profesional Malaysia yang bekerja di luar negara pulang ke tanah air, selain beberapa manfaat lain.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/825c72efd2bf1719366a0137f41e5a7f.jpg)
