Jabatan Imigresen Kuala Lumpur akan menyiasat dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas menerusi Bahagian Integritinya, beberapa jam selepas Malaysiakini menerbitkan laporan penyiasatan mengenai sindiket yang didakwa beroperasi dari pejabatnya di Jalan Duta.

Bagaimanapun, kenyataan jabatan itu hari ini tidak menyebut Malaysiakini secara langsung atau menjawab secara khusus penemuan dalam laporan berkenaan.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau, berkata pihaknya mengambil maklum laporan media bertarikh 17 Okt mengenai dakwaan salah laku dalam pengeluaran Pas Khas di Pejabat Imigresen Kuala Lumpur.

"JIM WPKL memandang serius dakwaan tersebut. Bahagian Integriti JIM WPKL akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan," katanya.

Hamsha berkata jabatan itu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau peraturan.

Jabatan itu turut menasihati orang ramai supaya berurusan melalui saluran rasmi Imigresen dan tidak menggunakan khidmat orang tengah yang tidak diberi kuasa.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan skop siasatan, sama ada mana-mana pegawai telah digantung tugas atau disoal siasat, serta sama ada siasatan turut membabitkan seorang pegawai kanan yang dikenal pasti dalam siasatan Malaysiakini.

Kenyataan itu dikeluarkan walaupun jabatan berkenaan sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan sudah dijalankan.

Malaysiakini menghubungi Pejabat Imigresen Kuala Lumpur pada 10 Ogos, termasuk dengan hadir sendiri ke pejabat berkenaan, dan menyerahkan bukti video serta gambar yang dikumpulkan sepanjang penyiasatan kepada seorang pegawai.

Selepas diberi lebih sebulan untuk memberikan maklum balas, jabatan itu hanya memberitahu Malaysiakini: “Kami masih siasat.”

Jabatan itu tidak menjelaskan skop siasatan, sama ada pegawai kanan yang didakwa terbabit turut disiasat atau bila siasatan dijangka selesai.

Dakwaan mengenai sindiket

Laporan Malaysiakini yang diterbitkan hari ini mendedahkan petunjuk bahawa orang tengah tempatan bekerjasama dengan pegawai Imigresen untuk mendapatkan Pas Khas bagi sekumpulan warga China.

Sepanjang tempoh pemantauan selama seminggu pada awal Ogos, ejen dilihat mengumpulkan pasport dan borang permohonan, manakala pegawai Imigresen didakwa mengagihkan nombor giliran khas bagi membolehkan permohonan diproses dalam beberapa minit.

Penyiasatan itu turut mengenal pasti seorang pegawai kanan yang perlu memberikan kelulusan bertulis, atau minit, sebelum permohonan dapat diproses.

Mengikut Peraturan 14 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, pengeluaran Pas Khas tertakluk kepada budi bicara dan memerlukan kelulusan pegawai yang diberi kuasa.

Walaupun bayaran rasmi Pas Khas ialah RM20, ejen yang dikaitkan dengan kegiatan itu menawarkan perkhidmatan berkenaan pada harga sehingga RM1,500 bagi setiap pasport.

Kegiatan yang didakwa itu dilihat terhenti buat sementara waktu selepas Malaysiakini menjalankan pemantauan, tetapi dikesan berlaku semula pada 2 Okt.

Hamsha berkata jabatan itu kekal komited bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berintegriti, telus dan profesional demi memelihara kepercayaan masyarakat terhadap jabatan.