Jais bertindak ikut lunas undang-undang, tiada kaitan isu 'perangkap' - Mais
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menafikan dakwaan bahawa penahanan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung kes khalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Khamis lepas ialah satu tindakan penganiayaan atau perangkap.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin menegaskan bahawa agensi penguatkuasaan agama negeri itu bertindak sepenuhnya berlandaskan aduan rasmi yang diterima, serta mengikut undang-undang yang ditetapkan tanpa memanipulasi keadaan demi mengenakan mana-mana pihak.
“Bila dikatakan seolah-olah jabatan agama terlibat dalam manipulasi dan sebagainya, ini tidak benar sama sekali. Kami juga ada tanggungjawab mengikut undang-undang apabila aduan dibuat, kami perlu melakukan siasatan secara menyeluruh.
“Jadi, percayalah JAIS akan menjalankan siasatan sebaik mungkin dan kalau ada keterangan jelas kita akan buat pertuduhan di mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas majlis Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2026 yang turut dihadiri Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini.
Mengulas tindakan memaklumkan kes berkenaan kepada umum, Salehuddin berkata perkara itu dibuat bagi memberikan pencerahan bahawa undang-undang syariah dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau pengaruh individu yang disiasat.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa masyarakat supaya memberikan ruang secukupnya kepada JAIS bagi melengkapkan prosedur siasatan mendalam serta mengelakkan sebarang spekulasi liar yang boleh menjejaskan keadilan proses perundangan.
“Kita tidak boleh menjatuhkan hukum selagi siasatan belum lengkap, kita perlu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab mengikut peraturan. Sekiranya dilakukan tanpa peraturan dan sebagainya, kita juga akan ditohmah,” katanya.
Terdahulu, Nik Nazmi dalam kenyataan di laman Instagramnya, mengesahkan beliau ialah seorang daripada dua individu yang ditahan JAIS atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lepas dan bersedia memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan.
Mengenai kes pemuda tempatan yang disyaki menjalankan amalan ritual agama lain, Salehuddin berkata dapatan awal menunjukkan tindakan pemuda berkenaan setakat ini berbentuk kepercayaan peribadi, namun pihak JAIS terus meneliti pelbagai bukti digital termasuk hantaran berkaitan ritual di Batu Caves yang dikaitkan dengan kepercayaan luar.
“Masyarakat kena faham apabila kita hendak mengambil tindakan di mahkamah, kita kena pastikan semua keterangan itu adalah benar. Kadang-kadang kita tahu, boleh jadi superimpose atau AI (kecerdasan buatan), jadi kita ada pakar yang boleh menentukan ketulenannya.
“Berhubung isu murtad, kita tidak boleh hukum sebelum buat siasatan lengkap dan pastinya kami dinasihati pihak-pihak yang berautoriti sebelum hukum seseorang, biarlah siasatan menyeluruh dilakukan terlebih dahulu," katanya.
Pada 13 Okt lepas, Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan memaklumkan seorang lelaki yang tular kerana dipercayai melakukan ritual agama lain yang bertentangan hukum syarak ditahan bersama-sama ibunya di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.