Parlimen Iran pada Ahad meluluskan pelantikan Mehrdad Akhlaqi Ketabchi sebagai Menteri Pertahanan baharu negara itu, menurut laporan penyiar negara IRIB, lapor Anadolu Ajansi.

Akhlaqi memperoleh 237 undi menyokong dan 15 undi menentang, tanpa sebarang undi berkecuali, daripada keseluruhan 277 undi yang dibuang dalam sidang Parlimen yang diadakan menerusi persidangan video.

Anggota Parlimen mengundi selepas mendengar hujah daripada pihak yang menyokong dan menentang Akhlaqi serta meneliti perancangannya untuk Kementerian Pertahanan.

Akhlaqi menggantikan Aziz Nasirzadeh yang terkorban dalam serangan awal Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Feb.

Majid Ebn al-Reza sebelum ini berkhidmat sebagai pemangku Menteri Pertahanan susulan kematian Nasirzadeh.

Dalam kenyataan pertamanya selepas mendapat kelulusan Parlimen, Akhlaqi berkata Iran mengambil langkah untuk menghadapi kemungkinan AS menggunakan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast, yang dikenali sebagai "Mother of All Bombs" (Ibu Segala Bom), terhadap negara itu.

"Kami mengambil langkah yang perlu untuk menghadapi tindakan sedemikian dan terus melaksanakan usaha kami dengan penuh keyakinan," katanya kepada pemberita.

Akhlaqi turut memberi amaran bahawa Presiden AS Donald Trump sepatutnya bimbang mengenai usaha membawa keluar tentera Amerika dari rantau itu dengan selamat.

"Jika beliau menggugurkan sebutir bom, beliau perlu melihat berapa ramai anggota tenteranya yang terpaksa dibawa keluar dari rantau ini dalam keadaan terbaring," katanya, yang dipercayai merujuk kepada kemungkinan korban dalam kalangan tentera AS.

Beliau berkata antara keutamaannya ialah memperluas pengeluaran pertahanan menerusi rangkaian industri Iran, meningkatkan penyelidikan serta menyesuaikan struktur Kementerian Pertahanan dengan ancaman keselamatan semasa.

Akhlaqi, seorang pegawai kanan yang lama berkhidmat di Kementerian Pertahanan, sebelum ini mengetuai Pertubuhan Industri Aeroangkasa Iran dan dikenakan sekatan oleh AS berhubung penglibatannya dalam aktiviti berkaitan misil Iran.