Menteri ingatkan rakyat jangan bertindak sendiri terhadap peniaga asing tanpa lesen
Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing yang berniaga tanpa lesen di ibu negara kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang.
"Nasihat saya kepada warga Malaysia, jangan ambil tindakan sendiri kerana itu sudah menyalahi undang-undang.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak boleh bergerak sendiri kerana kuasa mereka terhad kepada akta yang dipegang.
"Kita kena pastikan agensi yang betul datang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri projek naik taraf bilik multisensori pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Sinar, Kuala Lumpur hari ini.
/file/attachments/orphans/HannahYeo1_559855.png)
Pemimpin DAP itu diminta mengulas isu peniaga warga asing yang disifatkan sebagai berterusan, termasuk tindakan sebahagian rakyat tempatan yang mula mengambil langkah sendiri.
Menurut Yeoh, operasi melibatkan warga asing mesti dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.
"Jabatan Wilayah Persekutuan atau PBT, bukan sahaja di Kuala Lumpur, saya yakin di semua tempat di seluruh Malaysia, tidak boleh bergerak sendiri.
"Mesti ada operasi bersepadu," katanya sambil menambah isu itu kerap dibangkitkan di Parlimen.
Sementara itu, Yeoh yang juga anggota parlimen Segambut berkata dia meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempertingkatkan pemeriksaan lesen bagi memastikan lesen yang dikeluarkan benar-benar digunakan oleh pemohon yang layak dan berhak.
"Kalau kita tahu pemohon warga negara Malaysia dapat lesen tetapi dia sub-sewakan kepada warga asing, PBT memang akan membatalkan lesen itu," katanya.
Yeoh turut berkata dia meminta operasi gelandangan dipertingkatkan dan turun padang bersama pimpinan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk meninjau keadaan.
Perkara itu juga dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dengan penegasan bahawa operasi bersepadu perlu dipertingkat di seluruh negara.
Mengenai ketelusan operasi, Yeoh berkata DBKL kerap memuat naik aktiviti penguatkuasaannya di Facebook rasmi.
Katanya, peruntukan kamera badan untuk anggota penguat kuasa DBKL turut dimasukkan dalam bajet tahun depan bagi memastikan operasi dijalankan secara telus.
"Buat masa ini penggunaan kamera badan sangat terhad.
"Butiran lanjut mengenai bilangan unit dan peruntukan, perlu diperoleh daripada DBKL," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/FederalTerritoriesMinisterHannahYeoh191026111_674177.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.