PAC siasat kelewatan projek Pan Borneo Sabah
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan siasatan terhadap projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1 susulan kelewatan serta kelemahan pelaksanaan dan pemantauan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata siasatan itu akan meneliti pengurusan, tatakelola kewangan dan pelaksanaan fizikal projek berkenaan.
Menurutnya, jawatankuasa itu memandang serius perbelanjaan RM10.547 bilion, atau 94.6 peratus daripada peruntukan diterima berjumlah RM11.153 bilion, setakat 31 Mac 2026.
Pada tarikh sama, hanya empat daripada 35 pakej kerja, atau 11.4 peratus daripada jumlah pakej, siap sepenuhnya. Baki 31 pakej masih dalam pelaksanaan.
/file/attachments/orphans/afeasdasd_872353.png)
"PAC akan meneliti secara mendalam bagaimana situasi sedemikian boleh berlaku, walaupun terdapat pelbagai jawatankuasa pemantau yang ditubuhkan di peringkat negeri dan persekutuan.
"Apa yang dipersoalkan oleh PAC ialah kecukupan sistem pemantauan sedia ada yang meluluskan pembayaran untuk projek itu; walaupun jelas bahawa kemajuan fizikal di lapangan tidak sepadan dengan jumlah dana awam yang dibelanjakan," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mas Ermieyati berkata PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk JKR Sabah, serta agensi berkaitan untuk memberikan keterangan dalam prosidingnya.
Katanya, jawatankuasa itu tidak akan teragak-agak merujuk dapatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis jika ditemukan petunjuk salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan.

"PAC komited untuk menjalankan siasatan yang bebas, telus dan komprehensif, bagi memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan, demi mencapai objektif pembangunan negara," katanya.
Pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bermula menerusi perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang ditandatangani pada 11 April 2016. Projek itu pada asalnya dijadualkan siap dalam tempoh 69 bulan, menjelang 31 Disember 2021.
Namun, projek itu masih belum siap sepenuhnya, hampir lima tahun selepas sasaran asal berkenaan.
Fasa 1 projek sepanjang 706km itu merangkumi jajaran Sindumin ke Kota Kinabalu dan Kudat, Ranau ke Batu 32 Sandakan serta Batu 32 Sandakan ke Tawau.
Unjuran kos kontrak keseluruhan Fasa 1 meningkat daripada RM17.91 bilion kepada RM18.96 bilion, iaitu pertambahan RM1.05 bilion atau 5.9 peratus.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang dikeluarkan pada 5 Oktober mengenal pasti beberapa faktor penyumbang kepada kelewatan, termasuk kelemahan pelaksanaan di bawah model PDP, tapak pembinaan yang belum tersedia sebelum kerja dimulakan, prestasi kontraktor dan perunding yang lemah, perubahan reka bentuk serta isu pemindahan utiliti.
Setakat 31 Mac 2026, sebanyak 31 pakej kerja bernilai RM16.32 bilion masih dalam pelaksanaan.
Daripada jumlah itu, sembilan dikategorikan sebagai projek "sakit", 13 lewat daripada jadual dan sembilan mendahului jadual.
Audit turut menemukan ketidakpatuhan terhadap undang-undang, peraturan dan garis panduan.
Antaranya, sebanyak 57 Arahan Perubahan Kerja (APK) bernilai terkumpul RM513.99 juta diluluskan melebihi had kuasa jawatankuasa yang dipengerusikan Pegawai Penguasa (SO).
Bagi kontrak melebihi RM10 juta, had kelulusan jawatankuasa berkenaan ialah RM1 juta, mengikut ketetapan Pekeliling Perbendaharaan yang dirujuk audit.
Daripada jumlah itu, 11 APK bernilai RM14.16 juta tidak dikemukakan kepada Lembaga Perolehan Kementerian Kerja Raya, manakala 46 APK bernilai RM499.83 juta tidak dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk kelulusan sewajarnya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/cb32a92b149d4d58fe597ae7c53afdc5.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.