Kes Akta Hasutan: Papagomo dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen
Mahkamah Sesyen Klang hari ini melepas dan membebaskan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo daripada pertuduhan menghasut, tiga tahun lepas.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, 43, berkata keputusan berkenaan dibuat Hakim Siti Aminah Ghazali pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah menyatakan bahawa pihak pembelaan berjaya menimbulkan satu keraguan yang munasabah dan pada masa yang sama pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes beyond reasonable doubt,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pada peringkat pembelaan, hanya anak guamnya memberi keterangan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Pada 31 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri atas pertuduhan menghasut, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan lelaki itu.
Pada 3 Sept tahun lepas, Siti Aminah melepas dan membebaskan Wan Muhammad Azri daripada pertuduhan itu, selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap penulis blog tersebut.
Pada 8 Jan 2024, lelaki itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan yang mengaitkan kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat menerusi laman Facebook.
Dia didakwa membuat kenyataan itu di laman Facebook Halid Hamidi (Halid Mat Kool), yang kemudian dilihat oleh seorang individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di Shah Alam pada 1 tengah hari 8 Nov 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.