Dewan Rakyat kecoh isu 'munafik', Speaker minta MP jaga tutur kata
PARLIMEN l Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini mengingatkan anggota parlimen supaya berhati-hati dalam penggunaan perkataan ketika berbahas bagi mengelakkan kontroversi yang boleh menjejaskan kelancaran persidangan.
Beliau berkata penggunaan perkataan tertentu, khususnya yang mempunyai konotasi sensitif berkaitan agama, boleh menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan pihak lain, bergantung pada latar belakang dan tahap pemahaman seseorang.
Mengambil perkataan “munafik” sebagai contoh, Johari berkata istilah itu boleh memberi kesan berbeza kepada individu, justeru, anggota parlimen perlu mempertimbangkan sensitiviti semua pihak sebelum menggunakannya.
“Kalau orang tuduh saya munafik, saya balik demam terus sebab saya bukan dari sekolah agama. Itu kalau saya orang Islam, orang bukan Islam dengar lagi takut,” katanya sebelum memulakan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat.
Beliau berkata anggota parlimen seharusnya menggunakan perkataan yang mudah difahami dan mengelakkan perkataan kontroversi supaya perbahasan kekal tertumpu kepada isu rakyat, bukannya berlarutan dalam pertikaian mengenai penggunaan istilah tertentu.
“Bukan semua kawan-kawan kita di Kuala Lumpur (anggota parlimen) yang mempunyai pengetahuan yang sedalam kita. Jadi agak-agak lebih kurang supaya semua faham,” katanya.
Johari berkata perdebatan mengenai penggunaan perkataan tidak difahami semua pihak juga berpotensi berlarutan tanpa penyelesaian, sekali gus membazirkan masa yang sepatutnya digunakan untuk membincangkan masalah rakyat.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang penggunaan bahasa kurang sopan susulan kenyataan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang menggunakan perkataan "munafik" atau hipokrit ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Johari kemudiannya berkata beliau akan membuat keputusan berhubung perkara dibangkitkan Rayer itu esok.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/2973a26479420d19fa98141460aef864.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.