MOF: Tiada komitmen sokongan pembiayaan kepada AirAsia setakat ini
Putrajaya belum menandatangani sebarang perjanjian untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia.
Penegasan kerajaan mengenai perkara itu dibuat berikutan laporan berkenaan tekanan kewangan yang semakin meningkat dihadapi syarikat penerbangan tambang murah tersebut ketika lonjakan harga bahan api pesawat, dengan syarikat tersebut berusaha mendapatkan RM1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta daripada kemudahan kredit tempatan.
Meskipun Kementerian Kewangan dilaporkan menyewa konsultan untuk menilai kedudukan kewangan AirAsia, pengasas bersama merangkap penasihat syarikat, Tony Fernandes sebelum ini menafikan ada memohon bantuan kewangan daripada kerajaan, namun berkata adalah "bodoh" untuk menolak sebarang bantuan yang ditawarkan.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Kementerian Kewangan tidak mengesahkan secara langsung sama ada AirAsia memohon bantuan kerajaan bagi mengatasi masalah kewangannya.
Walau bagaimanapun, kementerian menyatakan sebarang permohonan bantuan kerajaan daripada mana-mana syarikat dalam mana-mana sektor dipertimbangkan berdasarkan kepentingan nasional dan awam, kelestarian fiskal kerajaan, serta perlindungan dana awam selaras dengan undang-undang dan prosedur sedia ada.
“Setakat ini, Kerajaan tidak membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam.
“Kerajaan tidak akan mengulas sebarang spekulasi atau angka yang dilaporkan oleh media, agar tidak menjejaskan pasaran serta kepentingan pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan lain bagi syarikat-syarikat berkenaan,” petik jawapan itu.
Kementerian Kewangan menyatakan demikian bagi menjawab soalan daripada anggota parlimen Ayer Hitam MCA yang juga bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong yang meminta perincian sama ada kerajaan mempertimbangkan sebarang jaminan, pinjaman, atau suntikan dana awam kepada AirAsia.
Dalam maklum balas itu, kementerian kewangan menambah bahawa kerajaan mengambil maklum isu yang dibangkitkan mengenai AirAsia, termasuk laporan kerugian dalam keputusan kewangan suku tahunan terkini.
“Pihak AirAsia telah mengaitkan kerugian tersebut terutamanya dengan kenaikan mendadak harga bahan api jet berikutan perkembangan konflik di Asia Barat.
“Sebagai sebahagian daripada pemantauan ini, Kerajaan mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain-pemain dalam ekosistem penerbangan, serta mendapatkan pandangan daripada industri, pakar teknikal dan pihak-pihak lain, sebagaimana yang turut dilaksanakan bagi sektor-sektor ekonomi lain yang terkesan akibat krisis Asia Barat,” kata MOF.
Kementerian juga menyorot bahawa AirAsia memainkan peranan penting dalam ekosistem penerbangan negara, dengan mencatatkan kira-kira 41 peratus daripada 104.5 juta pergerakan penumpang di lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan hampir 60 peratus pergerakan penumpang domestik pada 2025.
Malah, sebahagian besar ketersambungan udara di Sabah dan Sarawak bergantung kepada penerbangan AirAsia, yang membawa masing-masing 62 peratus dan 70 peratus daripada jumlah penumpang pada tahun 2025.
Lapangan terbang dengan bahagian penumpang AirAsia tertinggi di kedua-dua negeri tersebut ialah Sibu (79 peratus), Bintulu (77 peratus), Sandakan (75 peratus), Kuching (72 peratus), Tawau (70 peratus), Miri (63 peratus) dan Kota Kinabalu (62 peratus).
Di Semenanjung Malaysia, antara negeri-negeri dengan peratusan penumpang AirAsia yang tinggi adalah Johor (70 peratus), Terengganu (56 peratus), Kedah (56 peratus di Langkawi dan 49 peratus di Alor Setar), serta Kelantan (46 peratus).
Sementara itu di KLIA2, AirAsia mengendalikan tiga perempat daripada jumlah penumpang pada tahun yang sama.
Pada 12 Okt, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan ada mengadakan sebarang pertemuan dengan AirAsia, berikutan laporan Reuters bahawa Fernandes bertemu pegawai daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan untuk membincangkan urusan berkaitan penerbangan.
Ketika itu, Loke berkata dia tidak tahu-menahu mengenai perbincangan sedemikian yang melibatkan kementeriannya, sambil menambah tiada pertemuan atau perjanjian dengan AirAsia dalam beberapa minggu ke belakangan ini.
Laporan itu juga memetik sumber yang mendakwa Fernandes membincangkan kemungkinan kerajaan menyokong usaha pengumpulan dana syarikat penerbangan berkenaan, tertakluk kepada syarat tertentu.
Bulan lalu, satu laporan berasingan Reuters yang memetik sumber yang mendakwa Putrajaya meminta Malaysia Airlines dan Batik Air mengkaji sama ada mereka boleh menyerap sebahagian pasaran domestik AirAsia.
Walau bagaimanapun, Fernandes kemudian menyifatkan laporan itu sebagai "mengarut", sambil menepis dakwaan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pelan kontingensi untuk operasi domestik syarikat penerbangan itu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AirAsiaAirbusA330-300generic170926111_340401.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.