PARLIMEN | Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji mendedahkan laporan siasatan dakwaan “mafia korporat” dalam tempoh tiga bulan, sambil menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi.

Katanya, pendirian itu terpakai termasuk terhadap bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Kalau disebut ada bukti, keluarkanlah. Tidak kiralah nama yang disebut tadi, sama ada Azam Baki, Farhash atau Victor Chin,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata dia meminta Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengetuai pasukan petugas yang melibatkan SPRM, PDRM, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan AMLA.

Menjawab soalan tambahan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), dia berkata langkah itu bertujuan memastikan penyelarasan antara agensi penguatkuasaan lebih berkesan.

“Saya minta laporan lengkap supaya jangan orang anggap perkara ini tidak telus atau ada pihak yang mahu dilindungi.

“Jadi, biar laporan itu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

“Oleh kerana laporan ini bukan laporan penjawat awam tetapi laporan kerajaan, maka saya minta laporan itu didedahkan kepada awam,” katanya.

Chief Commissioner of the Malaysian Anti-Corruption Commission MACC SPRM Azam Baki 100924

Anwar turut menegaskan laporan yang disiapkan pasukan petugas itu akan didedahkan kepada umum bagi menunjukkan tiada sesiapa dilindungi.

Sany meminta jaminan individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan mafia korporat tidak dilindungi, selain mempersoalkan penggunaan aset bernilai berbilion ringgit yang disita.

Azam sebelum ini menyifatkan dakwaan yang mengaitkan pegawai SPRM dengan mafia korporat sebagai tidak berasas. SPRM turut mengeluarkan penafian terhadap dakwaan berkenaan.

Azam juga menafikan salah laku berhubung pemilikan sahamnya dalam Velocity Capital Partner Bhd dan memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan mengenai pemilikan sahamnya.

Farhash pula menafikan mempunyai urusan perniagaan dengan Azam atau cuba mengambil alih NexG Bhd, selain mengeluarkan surat tuntutan terhadap Channel News Asia berhubung laporannya.


BACA LANJUT:

PANDUANKINI | Mafia korporat - Ini yang anda perlu tahu


Dakwaan bayaran RM9.5 juta

Terdahulu, Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta penjelasan mengenai dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah berkaitan mafia korporat.

Merujuk dakwaan yang dibincangkan dalam podsiar bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Rosol bertanya sejauh mana siasatan dilakukan, termasuk sama ada ia melibatkan menteri.

Anwar menyifatkan dakwaan bayaran itu sebagai kenyataan politik yang tidak disokong keterangan, sambil menegaskan siasatan tetap diteruskan tanpa pengecualian.

“Yang dibangkitkan tentang menteri dan RM9.5 juta itu merupakan kenyataan politik yang tidak disandarkan pada keterangan.

“Menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dakwaan tersebut serta membawa urusan itu ke mahkamah.

“Jadi, saya ingat biarlah melalui saluran itu. Jangan kita menghukum sebelum mendapat keputusan,” katanya.

Apabila seorang ahli parlimen mencelah dan bertanya bila perkara itu dibawa ke mahkamah, Anwar menjawab:

“Sudah bawa ke mahkamah. Kena tunggu tarikh mahkamahlah.”

Anwar tidak menamakan menteri berkenaan.

Menteri Sumber Manusia R Ramanan sebelum ini menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan penerimaan RM9.5 juta daripada ahli perniagaan Victor Chin, sambil menegaskan dia tidak pernah bertemu Chin.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai ahli parlimen Sungai Buloh itu memfailkan saman berhubung dakwaan tersebut.

Chin pada mulanya mendakwa seorang ahli parlimen PKR menerima RM9.5 juta untuk membantu menyelesaikan masalahnya berkaitan dakwaan mafia korporat.

Dalam penjelasan susulan pada 26 Mac, Chin berkata bayaran itu merupakan yuran perkhidmatan, bukan untuk menyelesaikan urusan dengan agensi penguatkuasaan.

Tiada pengecualian untuk anggota parti sendiri

Anwar turut menegaskan tindakan terhadap salah laku tidak terbatas kepada mana-mana parti, sambil merujuk pendakwaan terhadap anggota PKR.

Dia juga merujuk kes melibatkan bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Akin, bagi menegaskan dia tidak mencampuri siasatan.

“Saya tidak menghalang atau menggunakan kuasa saya untuk menghalang, termasuk dalam kes bekas setiausaha politik saya baru-baru ini.

“Jadi, saya harap perkara itu dihormati,” katanya.

Tahun lalu, Shamsul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei ketika menjadi setiausaha politik Anwar, bagi membantu Tei mendapatkan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Anwar turut menyindir bekas menteri yang hanya membangkitkan dakwaan salah laku selepas meninggalkan jawatan.

“Sebab itu saya selalu mengingatkan sahabat-sahabat saya dalam Jemaah Menteri, kalau mahu menggunakan kuasa dengan baik, mahu membetulkan sesuatu, betulkanlah semasa ada kuasa.

“Esok, bila sudah pencen, atau terkeluar, atau menjadi pembangkang, baru mahu meluahkan perkara-perkara yang sepatutnya dibangkitkan ketika berada dalam kerajaan dahulu,” katanya.

Dia dipercayai merujuk Rafizi, yang meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi dan kemudian mengosongkan kerusi Parlimen Pandan untuk menjadi pemimpin bersama Bersama.

Mengenai penggunaan aset yang disita, Anwar berkata dana yang diperoleh semula disalurkan ke Kumpulan Wang Disatukan bagi membolehkan kerajaan meningkatkan perbelanjaan untuk pembasmian kemiskinan dan bantuan rakyat.

Katanya, usaha mencegah ketirisan dan mendapatkan semula dana turut membolehkan kerajaan menambah perbelanjaan bagi program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat usaha penguatkuasaan dan pemulihan aset berjaya mendapatkan semula RM37.53 bilion, termasuk RM28 bilion yang digunakan untuk melangsaikan hutang 1MDB.

Dua siasatan terdahulu

Dakwaan mafia korporat yang melibatkan ahli perniagaan dan pegawai penguatkuasaan menjadi perhatian selepas pendedahan Bloomberg pada Februari.

Pada 11 Mac, kabinet mengarahkan polis, SPRM, SC dan LHDN menyiasat dakwaan manipulasi korporat.

Secara berasingan, jawatankuasa khas yang diketuai Dusuki menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Azam.

Hasil siasatan pemilikan saham itu dibentangkan kepada kabinet pada Mac tetapi tidak didedahkan kepada umum, sekali gus mencetuskan gesaan supaya kerajaan bersikap telus dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Masih belum jelas sama ada pasukan petugas yang diumumkan hari ini merupakan peluasan siasatan terdahulu atau siasatan berasingan.