Penganalisis: Pembatalan PN sudah dijangka, tak payah cari ‘kambing hitam’
Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) ke atas PN yang diumum pagi tadi sepatutnya tidak mengejutkan kerana perkara itu sudah boleh dijangka sejak awal susulan pertembungan dalama parti gabungan tersebut.
Prof Madya Mohd Yusri Ibrahim berkata, sebelum ini sudah terdapat beberapa tindakan yang dilihat melanggar Perlembagaan PN ketika PAS dan Bersatu bersaing untuk menguasai gabungan itu.
Penganalisis politik itu berpendapat para penganalisis juga telah memberi amaran kepada PN bahawa kemelut yang melibatkan dua parti utama – PAS dan PN – memang boleh membuka ruang kepada tindakan ROS.
“Keputusan ROS bukan tindakan mengejut, bahkan boleh dijangka dari awal dan telah diberi amaran oleh penganalisis-penganalisis, termasuk saya sendiri.
“Maksudnya, jangan salahkan pihak lain, jangan cari kambing hitam atau menuding jari kerana semuanya memang telah dijangka.
“Dalam keadaan begitu pun, kenapa kepimpinan PN tidak mengambil serius amaran dan jangkaan tersebut?” katanya kepada Malaysiakini.
ROS pagi tadi memberitahu pendaftaran PN – yang kini dikuasa PAS – dibatalkan selepas surat penjelasan yang dihantar bagi menjawab notis jabatan terbabit gagal menyangkal asas-asas pembatalan yang ditetapkan.
Untuk rekod PN diasaskan bersama oleh PAS serta Bersatu susulan Langkah Sheraton pada 2020 yang menyaksikan kerajaan PH tumbang di luar pilihan raya. Sebelum itu PAS sudah menjalin kerjasama dengan Umno menubuhkan Muafakat Nasional.
Parti itu kemudian mengambil langkah sepihak dengan menubuhkan PN. Gabungan itu kemudian turut dianggotai Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia.
PAS kuat bermakna Umno lemah
Bagaimanapun timbul perselisihan faham sehingga menyebabkan ketegangan tidak terbendung di antara kedua-dua parti. Kemuncaknya ialah pengumuman bahawa PAS akan “mengajar” Bersatu seperti diumumkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di Rusila, Terengganu.
Abdul Hadi juga – di sebalik kedudukannya yang tiada sebarang jawatan dalam PN – menganggap Bersatu sudah melakukan pengkhianatan dalam kerjasama yang dibentuk mereka.
Menyusul selepas itu ialah penerimaan parti baru, Wawasan, sebagai satu lagi komponen PN. Wawasan diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, serta dianggotai kumpulan penentang Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Kemelut itu dirujuk kepada ROS selepas Bersatu mendakwa mereka tidak dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN beberapa bulan lalu.
Menurut Mohd Yusri, pembatalan PN itu memang merugikan gabungan tersebut secara menyeluruh, namun kesan terbesar ialah ke atas PAS yang sebelum ini berjaya meluaskan pengaruhnya melangkaui kubu tradisi mereka di Pantai Timur dan sebahagian kawasan utara.
Kejayaan PAS itu, katanya, disumbangkan oleh jenama PN sehingga parti yang dianggap konservatif berkenaan mampu menarik perhatian pengundi Melayu di kawasan Pantai Barat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/03/33d3c1cb0fa2945d1e294de5864aff65.jpg)
Jenama PN juga, katanya, membantu PAS mencatat prestasi begitu baik dalam PRU ke-15 dan enam PRN sebelum ini.
“Tanpa jenama PN, tahap keyakinan pengundi terhadap PAS mungkin tidak sama, khususnya di negeri seperti Perak, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya.
Pada masa sama Mohd Yusri mengingatkan pihak yang paling mendapat manfaat daripada keputusan terkini ROS bukanlah PH yang menjadi musuh utama PAS-PN sebaliknya BN.
Dia yang juga Ketua Penyelidik Ilham Centre berpendapat BN dan PAS bersaing untuk merebut segmen pengundi yang sama iaitu orang Melayu.
Sebelum ini, katanya, PN menikmati peningkatan sokongan dan pada masa sama ia menjejaskan dukungan kepada Umno khususnya kelompok Melayu konservatif.
“Apabila jenama PN tidak boleh digunakan (akibat keputusan ROS) terutamanya di luar Kelantan dan Terengganu, ini akan memberi peluang besar kepada Umno-BN untuk menarik kembali sokongan pengundi daripada segmen konservatif Melayu.
“Kalau pengundi segmen konservatif Melayu hilang keyakinan kepada PN kerana jenamanya tidak boleh digunakan, mereka tidak akan undi PH, tapi mereka akan kembali mengundi BN,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/ae7abebc7e29e2c2a795dcaa178a31e1.jpg)
Keadaan itu, tambah Mohd Yusri, secara tidak langsung menjadikan BN mendapat keuntungan lebih besar berbanding PH.
Mengulas kemungkinan kerjasama PAS dan Umno selepas pembatalan PN, Mohd Yusri menjangkakan perkembangan itu boleh memperhebatkan usaha ke arah agenda kerjasama yang dijenamakan sebagai penyatuan ummah.
Katanya, ramai orang dalam PAS bersetuju dengan usaha penyatuan dengan Umno, manakala di pihak Umno, ia turut dipersetujui sebahagian daripada mereka.
“Dengan pembatalan PN ini, gerakan tersebut mungkin akan semakin digerakkan oleh sebahagian pimpinan Umno.
“Tetapi pada pandangan saya, kerjasama BN dan PAS dalam konteks pilihan raya dan kekuasaan bukanlah satu kerjasama yang mampan,” katanya.
Hal itu kerana, tambah ahli akademik tersebut, PAS dan Umno sukar bekerjasama secara berterusan kerana faktor yang disebutkan tadi: kedua-duanya berebut sokongan segmen pengundi yang sama.
“Umno tidak akan membiarkan PAS menjadi kuat kerana kekuatan PAS bermakna mengambil sokongan Umno, dan begitu juga sebaliknya,” kata Mohd Yusri.
Selain itu dia melihat duri kepada kerjasama berkenaan ialah pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya dan persaingan untuk jawatan perdana menteri.
“Jika kerjasama dibuat sekali pun, ia untuk jangka pendek sahaja,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/PN1_434560.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.