Belanjawan 2027: Berjayakah Anwar tambat hati Gen Z?
Golongan Gen Z dilihat masih terbuka untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelang PRU ke-16, namun ia bukanlah suatu ‘cek kosong’ yang boleh melegakan sesiapa saja dalam kerajaan.
Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, keterbukaan itu sebenarnya bersyarat.
Malah ia banyak bergantung kepada prestasi semasa pentadbiran – khususnya yang melibatkan PH – serta bagaimana cara Putrajaya menguruskan pelbagai isu yang melibatkan anak muda secara langsung.
Misalnya, isu kos sara hidup dan pelaksanaan janji reformasi.
Bagi Ahmad Dhiariz Mohammad Zairin, Anwar masih menjadi pilihannya untuk kekal sebagai perdana menteri bagi penggal akan datang, tetapi sebelum itu dia mahu melihat aspek berintegriti diperkukuh.
Tidak ketinggalan, dia mahu melihat kabinet yang lebih kompeten.
“Reformasi yang Anwar sebut tu berjalan, tapi sepatutnya boleh banyak lagi perubahan dilaksanakan dengan komponen lagi telus.
“Saya juga mahu melihat anggota kabinet yang lagi kompeten, terutamanya dalam aspek komunikasi,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Dhiariz, 23, turut menyambut baik usaha kerajaan meningkatkan keterjaminan makanan, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import serta membangunkan industri kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur.
Bagaimanapun, isu integriti dan rasuah kekal menjadi kekecewaan graduan UiTM itu.
“Isu integriti dan rasuah, point paling besar dalam reformasi dan sebab utama kejatuhan kerajaan BN dalam PRU 2018, tak ditekankan sekuat yang diharap walaupun dengan praktik tender terbuka, terutamanya di peringkat penguatkuasaan,” katanya.
Perubahan perlu setimpal
Nada berhati-hati itu turut dikongsi peserta program latihan graduan Protégé, Farah Amirah Ahmad Feisal, yang melihat kos sara hidup dan gaji sebagai faktor penting menjadi pertimbangan Gen Z menjelang PRU ke-16.
Dia mengakui bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan Budi Madani banyak membantu mengurangkan beban perbelanjaan orang ramai, namun berpendapat kenaikan pendapatan perlu seiring dengan peningkatan kos kehidupan.
“Tak guna kalau gaji naik tetapi harga barang, sewa rumah dan komitmen bulanan pun semakin tinggi.
“Sebagai Gen Z, saya rasa kami bukan sekadar nak cukup makan dan bayar bil, tetapi nak ada simpanan, boleh nikmati kehidupan dan akhirnya mampu beli rumah sendiri,” katanya yang menuntut di Universiti Selangor.
Farah Amirah, 23, berkata kerajaan perlu menangani masalah lebih mendasar, termasuk kesukaran mendapatkan pekerjaan setimpal dengan kelayakan, gaji dan harga rumah.
Anwar yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Okt lalu dengan memberikan banyak penekanan kepada bantuan serta kelonggaran kepada orang ramai.
Antara inisiatif yang signifikan buat golongan Gen Z ialah:
· Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027
· Gaji permulaan RM2,500 untuk graduan dan pekerja separa mahir
· 30,000 peluang pekerjaan baru dengan kerjasama GLC dan GLIC
· Keringanan bayaran balik pinjaman PTPTN
· Pas bulanan pengangkutan awam yang lebih rendah
· Ruang lebih luas untuk bersuara, berfikiran kritis dan penglibatan dalam isu awam
· Bantuan tiket penerbangan mahasiswa ditambah
· Pembinaan kediaman mahasiswa (Projek Vista Kampus)
Selepas belanjawan itu dibentangkan sesetengah generasi muda menunjukkan perubahan ketara terhadap sokongan kepada kerajaan.
Ia dapat dilihat melalui perbincangan di media sosial. Bagaimanapun kesahihan sokongan tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.
Menurut Pew Research Center, Gen Z merujuk kepada seseorang yang lahir antara 1997 sehingga 2012. Justeru pada tahun ini Gen Z tertua berusia sekitar 29 tahun, manakala yang paling muda 14 tahun.
Malaysia sudah melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik membolehkan seseorang yang berusia 18 tahun menjadi pemilih dalam pilihan raya.
Isu tekanan ekonomi
Mahasiswa kejuruteraan elektrik dan elektronik, Wan Ahmad Mujahed Wan Shah Jihan, pula mempersoalkan kelangsungan bantuan yang diberi kerajaan dan bagaimana mereka boleh kekal berdaya saing jika ia tidak lagi diagih.
“Adakah bantuan akan berterusan jika berlaku peralihan kerajaan? Dengan ekonomi dunia sekarang, bolehkah kami menyara hidup tanpa bantuan?” soalnya.
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia berusia 22 tahun itu turut mengkritik sikap anggota kabinet ketika berdepan kritikan, dan pada masa sama melihat parti Muda sebagai alternatif sekiranya Anwar gagal menawarkan perubahan yang diharapkan.
“Sekiranya orang tua tidak tahu atau tidak mahu menangani masalah sekarang, lebih baik pemuda berusaha menanganinya sendiri,” katanya.
/file/attachments/orphans/PMXprimeministerAnwarIbrahimwithbudgetbookOctober20260910262_300753.png)
Menurut Mujahed, cabaran Anwar bukan sahaja mendapatkan sokongan anak muda yang menentangnya, tetapi juga mendekati mereka yang bersikap acuh tak acuh terhadap ahli politik itu dan sekutunya, atau politik secara keseluruhan.
Bagi mahasiswa dan penulis Hann Ali, 25, berkata Belanjawan 2027 memberi manfaat dari segi persediaan kerjaya dan kos sara hidup, termasuk melalui tumpuan terhadap teknologi serta industri semikonduktor.
Bagaimanapun, dia lebih melihat peruntukan besar kerajaan dalam konteks keperluan golongan muda yang berdepan tekanan ekonomi.
“Kalau mahu dikatakan 'gula-gula,' angka RM56.95 bilion untuk subsidi petroleum dengan RM19.09 bilion untuk KPT tu memang nampak manis bunyinya.
“Tapi masalahnya ialah, sesetengah Gen Z jenis yang kalau hulur gula-gula mereka tetap ‘ngap’ juga sebab 'lapar’ dengan kehidupan sekarang,” katanya.
Bukan sepenuhnya kerana Anwar
Penuntut UiTM Puncak Perdana itu menyifatkan hubungan Gen Z dengan Anwar sebagai tidak menentu dan bergantung kepada hasil kerja kerajaan.
“Dengan kata mudah, sokongan Gen Z di media sosial ini bukannya lifetime subscription tanpa harga; ia kena diperbaharui setiap masa dengan hasil kerja yang betul-betul menjadi, bukan sekadar ucapan manis,” katanya.
Abdullah Fulan (bukan nama sebenar), 21, melihat belanjawan terkini dibentang Anwar itu dari sudut kemampanan fiskal dan pengurusan hutang negara.
Dia berpandangan peruntukan pembangunan berpotensi menjana pulangan jangka panjang jika diuruskan dengan cekap, manakala inisiatif meringankan bayaran balik PTPTN dan cadangan gaji permulaan RM2,500 merupakan langkah positif.
“Persoalan sebenar ialah sama ada inisiatif itu mencukupi untuk menangani cabaran lebih besar yang dihadapi golongan muda atau tidak, khususnya dengan peningkatan kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah serta jurang antara kelayakan akademik dengan peluang pekerjaan,” kata mahasiswa itu.
Dia juga sependapat dengan yang lain bahawa kepimpinan kerajaan perlu dinilai berdasarkan hasil pelaksanaan dasar, bukan sekadar janji politik.
“Walaupun saya mengakui bahawa Anwar berusaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia, saya percaya kepimpinan perlu dinilai berdasarkan keupayaannya menterjemahkan dasar dan janji kepada hasil yang nyata,” katanya.
/file/attachments/orphans/54232342342342_505203.png)
Sementara itu pakar ekonomi Universiti Malaya, Prof Mohd Nazari Ismail, berpandangan tekanan ekonomi Gen Z tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada pentadbiran Anwar kerana masalah kos sara hidup dan gaji sudah lama wujud.
Lebih daripada itu, katanya, is berkait dengan struktur ekonomi negara.
Menurut Mohd Nazari, kebergantungan kepada industri hutang dan perbankan serta beban hutang majikan turut menyumbang kepada tekanan ekonomi negara.
“Dalam suasana inflasi dan gaji yang tidak mencukupi, kos sara hidup akan terus meningkat.
“Oleh itu, tidak kira kerajaan mana yang memerintah, keadaan tidak akan berubah selagi sistem yang ada tidak berubah,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata kenaikan gaji permulaan dan pemberian subsidi merupakan antara langkah kerajaan menangani tekanan rakyat, namun menganggap usaha itu sebagai penyelesaian sementara saja.
“Lambat laun, cukai terpaksa dinaikkan dan subsidi dikurangkan demi membantu membayar hutang tersebut, dan ini akan membuat rakyat – termasuk Gen Z – semakin marah,” katanya.
Mohd Nazari berkata bantuan Sara masih diperlukan untuk meringankan beban rakyat, tetapi tidak menyelesaikan punca masalah ekonomi.
/file/attachments/orphans/567567352342_720627.png)
Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Puncak Perdana, Prof Madya Mohd Syuhaidi Abu Bakar, pula berkata Gen Z semakin bijak menilai kerajaan berdasarkan tindakan, bukannya slogan.
Menurutnya, penambahbaikan Belanjawan 2027 meliputi peruntukan FlySiswa, elaun tingkatan enam, perumahan, program Dapur Siswa, kelonggaran bayaran PTPTN serta kenaikan gaji minimum dan gaji permulaan graduan.
“Tidak mustahil jika dasar-dasar yang memberi manfaat secara langsung kepada generasi muda ini terus dilaksanakan dengan berkesan, sebahagian besar Gen Z akan mahu melihat kepimpinan Anwar diteruskan untuk penggal seterusnya,” katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/AI1ad2dd_780041.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.