K'jaan kembalikan syarat ekuiti bumiputera 30 peratus bagi pembelian hartanah GLC
Kerajaan telah membatalkan syarat yang menghendaki pemilikan 50 peratus bumiputera bagi mana-mana syarikat yang mahu membeli hartanah milik GLC atau GLIC bernilai lebih RM20 juta.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, berkata syarat itu dikembalikan semula kepada 30 peratus selepas semakan semula yang turut melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
Menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan), Akmal berkata keputusan itu juga selaras dengan Garis Panduan Perolehan Hartanah (GPHH) kementerian yang berkuat kuasa mulai Julai 2022.
Pada November tahun lalu, kerajaan menaikkan syarat pemilikan ekuiti Bumiputera daripada 30 peratus kepada 50 peratus. Langkah itu bertujuan memastikan penjualan aset strategik oleh GLC dan GLIC selaras dengan matlamat sosioekonomi negara serta agenda Bumiputera.
Dasar itu diperkenalkan ketika Kementerian Ekonomi diterajui Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.
Pada Mei lalu, Lim yang juga bekas menteri kewangan mengkritik dasar itu kerana didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan serta kebimbangan mengenai dasar berasaskan kaum oleh kerajaan Madani.
"Tiada warga Malaysia berbangsa Cina yang menentang pengambilalihan pegangan besar bernilai RM2 bilion dalam Eco World Development Group Bhd dan syarikat bersekutunya oleh usahawan bumiputera terkaya, Syed Mokhtar Albukhary.
"Jelas sekali, warga Malaysia berbangsa Cina menerima transaksi ini kerana mereka melihatnya bukan melalui sudut pandang kaum tetapi sebagai keputusan komersial berasaskan pasaran oleh pihak swasta.
"Masalahnya ialah masih ada golongan tegar di Malaysia yang terus melihat sudut pandang kaum dalam setiap keputusan komersial," katanya ketika itu.
Dalam jawapannya kepada Lim semalam, Akmal tidak menyatakan secara terperinci bila dasar itu dibatalkan.
Bagaimanapun, firma guaman Zul Rafique & Partners dalam artikel di laman webnya pada 20 Ogos berkata, seorang pegawai Kementerian Ekonomi memaklumkan dalam satu sesi perbincangan bahawa syarat 30 peratus itu telah dikembalikan pada awal Ogos.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/65464565_434199.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.