Dalam isu rasuah dan kebejatan lain yang dihadapi sekarang, kata Abu Hafiz Salleh Hudin, tokoh-tokoh terkemuka dan dihormati perlu lebih berani bersuara dan bukannya mendiamkan diri demi menjaga kepentingan sendiri.

Menurut pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, individu berpengaruh dan dilihat bebas daripada politik boleh menyumbang pandangan dan usaha menjadikan negara lebih baik.

Suara mereka, tambahnya, lebih mudah menarik perhatian masyarakat dan diyakini berbanding orang politik.

“Public figures patut lebih bersuara. Suara mereka lebih didengari dan itu tanda mereka berjiwa patriot berbanding hanya diam mungkin sebab ingin menjaga kepentingan tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.

Abu Hafiz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bersahaja tokoh perbankan kanan yang kini menjadi Canselor Open University Malaysia (OUM) Azman Hashim, dalam suatu majlis institusi pengajian tinggi itu baru-baru ini.

Abu Hafiz Salleh Hudin.

Dia yang pernah menjadi Pengerusi AmBank Group sebelum bersara pada Mac 2022.

Baru-baru ini tular petikan ucapan Azman terkait isu tatakelola dan rasuah di hadapan graduan OUM.

Tanpa banyak berselindung dia menyuarakan kebimbangannya terhadap gejala rasuah dan kemerosotan nilai yang baik dalam masyarakat.

Antara lain dia menyatakan bahawa suatu masa dulu orang ramai biasa dengan slogan Malaysia Boleh, namun kini berbeza apabila disebabkan rasuah, “semua pun boleh”.

Dia turut merujuk kepada skandal Lembaga Tabung Haji dan mempersoalkan bagaimana penyelewengan boleh berlaku melibatkan wang yang diamanahkan kepada sesebuah institusi.

Boleh menghantar mesej salah

Azman, 87, turut menyebut bagaimana sesetengah orang tidak berasa malu mempamerkan kemewahan masing-masing

“Tiada lagi rasa malu dalam diri mereka. Tak malu… dan perkara itu masa masa ini (menjadi) malu apa?” katanya.

Azman menyampaikan ucapan itu pada 19 Okt lalu.

Mengulas kenyataan ‘pedas’ Azman itu, Abu Hafiz secara jelas menghargai ketegasan ditunjukkan tokoh terbabit.

“Ucapan syabas dan terima kasih perlu diberikan pada beliau,” katanya.

Untuk rekod dalam ucapan sama Azman turut mempersoalkan mengapa ada individu tertentu yang dilihat boleh terlepas daripada tindakan undang-undang walaupun melakukan kesalahan.

Mengulas perkara itu, Abu Hafiz membangkitkan isu pelaksanaan undang-undang dua darjat, terutama apabila melibatkan individu yang mempunyai pengaruh, kekayaan dan kedudukan dalam masyarakat.

“Kalau orang itu mempunyai pengaruh, mempunyai kekayaan, mempunyai tempat dalam masyarakat, terasa macam laju dan mudah sahaja mendapat pengampunan, mendapat lega, hukum dan sebagainya.

“Itu memberikan mesej yang sangat-sangat salah” katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Mohammad Tawfik Yaakub, pula berkata walaupun apa yang dilakukan tokoh berpengaruh seperti Azman itu bagus, ia tidak boleh terhenti di setakat ucapan tular semata-mata.

Mohammad Tawfik Yaakub.

Tambahnya, ia perlu disusuli tindakan kolektif daripada sektor korporat, masyarakat sivil, ahli akademik dan institusi kerajaan.

Ahli akademik Universiti Malaya itu menambah, selain menyatakan kebimbangan tokoh berpengaruh juga perlu mengemukakan cadangan bagi mengubah keadaan, selain melaporkan sebarang salah laku berdasarkan bukti serta menyokong penguatkuasaan undang-undang.

“Pada masa yang sama saya lihat institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan parlimen semakin berusaha memperkukuh mekanisme pemantauan serta memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan secara konsisten.

“Bagi saya teguran awam hanya membawa makna apabila diterjemahkan kepada reformasi institusi dan tindakan yang boleh diukur sekali gus menghapuskan persepsi (buruk) dalam kalangan rakyat,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Apa yang signifikan di sebalik tularnya ucapan Azman itu, katanya, ialah mesej jelas bahawa isu rasuah dan integriti bukan sekadar hal berkaitan politik tetapi ancaman serius terhadap kestabilan ekonomi, keyakinan pelabur, dan kredibiliti negara.

Gambar hiasan.

Tambah Tawfik, pengalaman luas tokoh korporat itu dalam sektor perbankan dan perniagaan memberikan kredibiliti tinggi kepada teguran berkenaan terutamanya mengenai bahaya rasuah yang berisiko dinormalisasikan jika tiada tindakan tegas diambil.

“Keberanian tokoh korporat bersuara secara terbuka memperlihatkan bahawa tanggungjawab membanteras rasuah perlu digalas secara kolektif oleh kerajaan, sektor swasta dan masyarakat,” katanya.

Ditanya apakah faktor yang membuatkan Azman bersuara secara terbuka mengenai hal itu, Tawfik berpendapat, ia mungkin didorong oleh tanggungjawab moral.

Katanya Azman mungkin berisiko terlibat dengan kontroversi dan mengancam hubungan baiknya dengan pihak tertentu dengan menyentuh isu rasuah secara lantang.

“Namun, mesej tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang konsisten, termasuk dalam tadbir urus korporat sendiri, supaya perjuangan menentang rasuah tidak terhenti pada kenyataan semata-mata,” ujarnya.