Pakar: PN kesuntukan masa tangani isu pembatalan pendaftaran bagi hadapi PRN Melaka
Dengan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadualkan mendengar cabaran undang-undang oleh Perikatan Nasional (PN) pagi ini, gabungan yang telah dibatalkan pendaftarannya itu kesuntukan masa untuk menyelamatkan perancangan pilihan rayanya, kurang daripada dua minggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.
Walaupun PN boleh meneruskan tindakan undang-undang lanjut terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), peguam dan penganalisis politik berpendapat bahawa parti-parti komponennya tidak seharusnya menunggu keputusan mahkamah sebelum membuat persiapan bagi pilihan raya pada 14 November itu.
Dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, persoalan utama yang timbul ialah sama ada PAS dan rakan-rakannya boleh mencapai persetujuan mengenai alternatif aturan pilihan raya—termasuk logo parti mana yang akan digunakan—sambil pada masa yang sama meneruskan usaha perundangan yang mungkin tidak memberikan penyelesaian tepat pada masanya.
"Walaupun kes mahkamah berjalan, yakni beranggapan mereka akan memfailkan tindakan baru di mahkamah, beranggapan kes itu akan memakan masa sebelum mahkamah buat keputusan dan seandainya PRU16, apatah lagi PRN Melaka memang 'confirm' (kes) tak boleh nak selesaikan.
"(Maka) PAS, Gerakan, MIPP, Wawasan dan lain-lain patut buat pengumuman mereka masih akan bertanding secara gabungan, guna lambang apa dan dalam ceramah, program mereka patut diwar-warkan dari sekarang, jadi bila datang PRU, rakyat dah tahu dah PN tanding atas lambang apa.
"Itu cara politik dia," kata peguam veteran Haniff Khatri Abdulla.
/file/attachments/orphans/podcast1asdess_225221.png)
Haniff berkata parti-parti komponen PN perlu memutuskan aturan pilihan raya mereka dan mula memaklumkannya kepada rakyat supaya pengundi mengetahui lambang yang perlu mereka pilih pada hari pengundian.
Dia membandingkan situasi itu dengan pengalaman Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, apabila parti-parti komponennya, termasuk Bersatu, terpaksa bertanding menggunakan lambang PKR kerana gabungan itu belum berdaftar.
"Serah macam dulu masa PH tak didaftarkan, isytihar guna lambang PKR. Satu Malaysia faham, (pengundi) masih undi PH jadi kerajaan 2018," katanya.
Peluang guna logo PN tipis
Bekas pengerusi Badan Peguam Selangor, Kokila Vaani Vadiveeloo berkata PN boleh mencabar keputusan ROS melalui semakan kehakiman berasingan atau mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun, dia berkata rayuan mahupun permohonan semakan kehakiman tidak akan menggantung pembatalan pendaftaran itu secara automatik, sekali gus menjadikan peluang PN menggunakan lambangnya sendiri dalam PRN akan datang tipis tanpa campur tangan lanjut mahkamah.
"Dengan tempoh masa yang singkat, sukar untuk menyelesaikan keseluruhan proses semakan kehakiman sebelum hari penamaan calon.
"Sebaliknya, PN perlu memohon relif interim segera yang secara khusus menangani pembatalan pendaftarannya atau memfailkan Sijil Perakuan Segera (Certificate of Urgency).
"Bagaimanapun, mahkamah mungkin menolak permohonan itu atas alasan tiada keperluan mendesak untuk perkara ini didengar," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/03/c9fca29cf1856b57606a23a1af0ec73e.jpg)
Kokila menambah Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan penangguhan interim meskipun memberikan kebenaran kepada PN untuk mencabar perintah penggantungan terdahulu oleh ROS.
Bagi PRU16, dia berkata cabaran undang-undang itu berpotensi diselesaikan sebelum PRU berkenaan, namun tempohnya tidak dapat dipastikan, khususnya jika ada rayuan difailkan selepas itu.
"Dalam pada itu, PN perlu menyediakan aturan pilihan raya alternatif melalui parti-parti komponennya, tertakluk kepada keperluan yang berkenaan.
"Cabaran undang-undang dan aturan pilihan raya alternatif perlu berjalan serentak supaya PN dapat mengekalkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang tanpa menjadikan kedudukan pilihan raya dalam masa terdekat bergantung sepenuhnya pada keputusan mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.
Bentuk gabungan baru
Sementara itu, ahli sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri berkata sudah tiba masanya untuk PN meneruskan langkah ke hadapan, sambil berhujah bahawa mencabar pembatalan pendaftaran dan mendaftarkan semula gabungan itu tidak akan menyelesaikan pertikaian asas berhubung kedudukan Bersatu dalam PN.
Dia berkata PAS sebelum ini bertegas tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, bermakna gabungan itu masih perlu menyelesaikan persoalan keanggotaan Bersatu walaupun cabaran undang-undangnya berjaya.
/file/attachments/orphans/eadasdasd_561675.png)
"Jadi, saya rasa mungkin inilah jalan keluar untuk mereka. Ya, ia mungkin melemahkan mereka kerana jenama PN sudah dikenali ramai, terutama menjelang pilihan raya Melaka.
"Tetapi bagi saya, PN mempunyai parti komponen yang kuat, iaitu PAS, yang boleh membawa gabungan itu bertanding menggunakan lambangnya," katanya.
Bagi jangka panjang, Syaza berkata parti-parti komponen PN yang lain boleh mempertimbangkan pembentukan gabungan baru tanpa Bersatu.
Bagaimanapun, dia berpendapat pakatan yang lebih longgar mungkin lebih praktikal memandangkan landskap politik Malaysia yang berpecah-pecah, melainkan parti-parti berkenaan dapat mencapai perjanjian kukuh yang mampu mengelakkan pertikaian sama daripada berulang.
Stigma logo PAS
Pemerhati politik Azmi Hassan turut berkata PAS dan sekutunya perlu mempertimbangkan penggunaan lambang PAS itu dalam pilihan raya akan datang, meskipun dia memberi amaran bahawa langkah tersebut boleh membawa kesan terhadap sokongan pengundi.
Azmi berkata logo PAS mempunyai stigma dalam kalangan pengundi bukan Melayu, yang boleh menjejaskan rakan parti itu, khususnya Gerakan dan MIPP.
"Stigma bahawa PAS bersikap ekstrem itu juga boleh melekat pada Wawasan. Itulah kelemahan jika Wawasan menggunakan lambang PAS, atau jika lambang PAS digunakan di Melaka.
"PN secara umumnya dianggap mempunyai pendekatan yang lebih sederhana, meskipun PAS merupakan sebahagian daripada gabungan itu," kata felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/379c4bfb24101b4d4d452c63dba058d1.jpg)
Bagaimanapun, Azmi berkata PN atau PAS tetap perlu mencabar keputusan ROS di mahkamah kerana kesan kehilangan jenama PN mungkin lebih besar dalam pilihan raya negeri yang lain pada masa hadapan dan PRU16.
"Isu ini mungkin tidak menimbulkan masalah besar di Melaka, tetapi boleh menjadi masalah dalam pilihan raya negeri lain dan, yang lebih penting, dalam pilihan raya umum.
"Lambang PAS mempunyai stigma dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Ini boleh memudaratkan PAS dan parti-parti lain dalam PN, khususnya Gerakan dan MIPP," katanya.
Pembatalan pendaftaran
ROS membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati jawapan gabungan itu terhadap notis tunjuk sebab yang dikeluarkan tidak memuaskan.
Notis tunjuk sebab itu dikeluarkan susulan aduan Bersatu yang mendakwa kepimpinan PN menafikan hak parti itu untuk menghadiri, menyuarakan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan pada 16 Julai.
Pembatalan pendaftaran itu berlaku kira-kira dua minggu sebelum PRN Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menggunakan lambangnya dalam pilihan raya berkenaan.
Keputusan itu juga dibuat hanya dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggantungan pendaftaran sementara menunggu semakan kehakiman.
Buat saja gabungan baru atas Nama PERTIKAIAN NASIONAL……PN juga tu…
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/2e13bf160f4585460a6ff970f4077498.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.