Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Rabu, AS boleh menamatkan perangnya dengan Iran sekarang tetapi mahu memastikan hasilnya berkekalan, lapor Anadolu Ajansi.

"Ia akan berakhir tidak lama lagi. Kami boleh tinggalkan (Iran) sekarang, tetapi kami mahu memastikan (hasil daripada perang) bertahan lama," kata Trump pada perhimpunan di South Carolina.

Beliau mendakwa Tehran tidak akan "mempunyai senjata nuklear".

Trump juga berkata AS mempunyai sekatan di Selat Hormuz, yang digelarnya sebagai "Selat Trump."

Kenyataan itu dibuat selepas The New York Times melaporkan bahawa tentera AS dan Israel membangunkan rancangan untuk serangan baharu ke atas Iran selepas pilihan raya separuh penggal AS, memetik pegawai AS dan pihak lain diberikan taklimat mengenai perkara itu.

Menurut laporan itu, Trump berkemungkinan tidak akan meluluskan serangan tersebut, dengan menyatakan bahawa beliau berulang kali menggunakan kuasa veto bagi membatalkan rancangan untuk kembali ke pertempuran besar tahun ini.

Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu Times bahawa pentadbiran tidak mengulas mengenai rancangan ketenteraan "yang mungkin wujud atau mungkin tidak."

AS dan Israel melancarkan perang ke atas Iran pada 28 Feb, mendorong Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu dan dron di rantau itu dan menutup Selat Hormuz secara berkesan, laluan utama bekalan tenaga global.

Memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Jun oleh AS dan Iran susulan pengantaraan Pakistan dan Qatar terhenti di tengah-tengah perselisihan faham, termasuk mengenai pelayaran di selat berkenaan.