Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada Rabu berkata sokongan ketenteraan yang dicadangkan Kaherah untuk Riyadh bertujuan untuk "mempertahankan wilayah Arab Saudi dan tidak merangkumi serangan ke atas Yaman".

Pada acara kerajaan bertajuk Forum Mesir 2026, Sisi berkata: "Kita bercakap mengenai mempertahankan wilayah dan sempadan kerajaan berkenaan."

"Keadaan tidak mampu menanggung sebarang ketidakstabilan berlanjutan di negara lain. Kita mahu memulihkan negara yang hilang kestabilan mereka," tambahnya.

AFP melaporkan Sisi pada Sabtu meminta parlimen membenarkan sokongan kepada Arab Saudi dalam perang dengan Houthi, "sekiranya diminta".

Parlimen yang dipenuhi penyokong presiden sejak itu mengadakan dua sesi tertutup yang jarang berlaku sebelum menangguhkan perbincangan sehingga minggu depan.

Susulan acara itu selepas Sisi menyampaikan ucapan yang dilaporkan kemudian itu, satu delegasi peringkat tinggi Mesir melawat Riyadh, lapor agensi berita rasmi kerajaan berkenaan.

Diplomat tertinggi Mesir, Badr Abdelatty dan ketua perisik, Hassan Rashad menyerahkan surat daripada Sisi kepada pemerintah de facto Arab Saudi, Mohammed bin Salman, kata Agensi Berita Saudi.

Kandungan mesej berkenaan tidak dilaporkan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, serangan Houthi ke atas Arab Saudi mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, memaksa Riyadh menutup lapangan terbang utamanya dan menangguhkan persidangan pelaburan utama.

Sekatan maritim Houthi turut mengancam eksport minyak dari kerajaan itu, yang juga pengeksport minyak mentah terbesar di dunia.

Arab Saudi sejak itu mengumpul sokongan daripada sekutunya. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam lawatan "solidariti" mengejut ke negara itu pada Rabu, berkata tentera Perancis akan membantu melindungi terminal minyak utama Yanbu di Laut Merah.

Sehari sebelum itu, kerajaan UK mengumumkan akan menempatkan jet pejuang Britain bagi membantu Arab Saudi mempertahankan diri daripada serangan yang semakin meningkat.

AS arah kakitangan kedutaan tinggalkan Arab Saudi

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan kedutaan yang tidak kritikal serta keluarga mereka meninggalkan Arab Saudi, kata Jabatan Luar Negera pada Rabu.

"Kumpulan Houthi yang disokong Iran semakin giat melancarkan permusuhan terhadap Arab Saudi, termasuk serangan ke atas lapangan terbang awam dan infrastruktur penting lain yang mengakibatkan kemalangan jiwa dalam kalangan orang awam serta gangguan perjalanan yang teruk," kata jurucakap Jabatan Luar Negeria Tommy Pigott dalam satu hantaran di media sosial bagi menjelaskan langkah berkenaan.

"Keselamatan dan perlindungan personel Jabatan serta keluarga mereka kekal menjadi keutamaan tertinggi kami," tambahnya.

Memetik sumber diplomatik di Asia Barat, AFP melaporkan bahawa sebahagian keluarga kakitangan kedutaan AS turut dibawa keluar dari Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Bahrain. Namun, Pigott menegaskan perintah pada Rabu bahawa arahan itu hanya terpakai buat kakitangan kedutaan bukan kecemasan dan keluarga mereka di Arab Saudi.

Gambar Hiasan - Kedutaan AS di Riyadh

Arab Saudi berdepan serangan hampir setiap hari daripada kumpulan Houthi yang disokong Iran pada bulan ini, termasuk serangan ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang menjadi serangan paling maut di kerajaan itu dalam tempoh beberapa tahun, ketika perang dengan kumpulan berkenaan semakin memuncak.

Pada Rabu, kementerian tenaga Arab Saudi memaklumkan serpihan yang jatuh daripada pemintasan sebuah dron yang menyasar kemudahan minyak menyaksikan dua orang terbunuh manakala dua lagi dilaporkan cedera.

"Percubaan serangan itu mengakibatkan kematian dua individu, warga Filipina dan Nepal, serta kecederaan kepada dua yang lain," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak menyatakan pihak yang melancarkan serangan dron ke atas medan minyak Shaybah berhampiran sempadan UAE berkenaan. Awal Rabu, gabungan yang dipimpin Arab Saudi di Yaman melaporkan telah memintas enam dron.

Seorang maut dan lapan lagi cedera dalam serangan ke atas lapangan terbang Dammam di timur Arab Saudi, kata pegawai penerbangan.

Pada Jun, gencatan senjata empat tahun dalam perang saudara Yaman terbukti gagal dan mencetuskan semula konflik yang bermula sejak 2014. Gabungan dipimpin Arab Saudi menyokong kerajaan yang diiktiraf antarabangsa sejak 2015.