Calon, parti politik mahu guna dron perlu dapat kelulusan
Calon dan parti politik yang ingin menggunakan dron sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu dan tidak boleh menggunakannya secara sewenang-wenangnya.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata ia susulan penggunaan dron tertakluk kepada kawalan pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau pengendalian peralatan berkenaan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Parti-parti politik tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan alat-alat seperti dron sebab peralatan ini memerlukan kebenaran daripada agensi berkaitan, malah pihak polis sendiri perlu mendapatkan kelulusan sebelum menggunakan dron bagi tujuan operasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bersama Wakil-Wakil Parti Politik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Beliau berkata polis Melaka akan menugaskan kira-kira 3,400 anggota dan pegawai bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang tempoh pilihan raya, termasuk tambahan 1,500 anggota bantuan dari luar Melaka bagi membantu penugasan berkenaan.
"Penugasan anggota bantuan itu akan diselaraskan oleh Bukit Aman. Polis turut akan menggunakan teknologi termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan dron menerusi pasukan khas bagi membantu memastikan kelancaran pilihan raya," katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan semua parti politik dan calon yang bertanding agar mengelakkan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R), penyebaran fitnah serta tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada 31 Okt.
"Pihak polis akan sentiasa memberikan perhatian terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, manakala isu berkaitan 3R dan isu kandungan media sosial akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini polis menerima dua laporan berkaitan parti politik pada 14 Okt lepas berhubung zon bebas kenderaan di Banda Hilir dan isu sekolah etnik Rohingya, walaupun proses penamaan calon belum berlangsung.
"Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkhairi berkata sebanyak 2,764 pengundi awal, termasuk pengundi pos dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) direkodkan bagi PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 10 Nov ini.
Terdahulu, pada majlis itu sebanyak 140 wakil parti politik dari seluruh Melaka menghadiri sesi taklimat berkenaan, yang turut melibatkan wakil MCMC dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata taklimat itu bertujuan memudahkan parti politik memahami prosedur serta peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pilihan raya termasuk berkaitan permohonan permit kempen.
"Bagi permohonan permit, polis akan memanggil wakil calon mengikut daerah bagi membolehkan permohonan permit kempen dibuat lebih awal agar aktiviti kempen lebih mudah dilakukan," katanya.
- Bernama
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.