Dua bekas pegawai kanan TH didakwa tipu pembayaran hibah RM3.3 bilion
Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu anggota Lembaga Pengarah institusi itu berhubung cadangan pelarasan semula nilai hartanah bagi pembayaran hibah pendeposit berjumlah RM3.3 bilion.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Johan Abdullah, 70, dan bekas Ketua Pegawai Kewangan TH Rozaida Omar, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan bersama dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menipu anggota Lembaga Pengarah TH dengan menyediakan dan membentangkan Kertas Kerja Bil.3/2018 (K)(358) yang mengandungi cadangan pelarasan semula nilai tiga hartanah pelaburan iaitu Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne.
Pelarasan itu didakwa bertujuan meningkatkan jumlah keuntungan TH dalam laporan kewangan belum disatukan (belum diaudit) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2017, bagi membolehkan pembayaran hibah kira-kira RM3.3 bilion kepada pendeposit dilaksanakan.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu walaupun mengetahui nilai hartanah pelaburan terbabit sepatutnya dinilai pada kadar pasaran lebih rendah, sekali gus mendorong anggota Lembaga Pengarah TH untuk meluluskan kertas kerja berkenaan serta pelarasan semula nilai ketiga-tiga bangunan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur antara 3 petang dan 10.30 malam pada 9 Feb 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh manakala Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan peguam Shukri Mohamed dan Malissa Shukri mewakili Johan.
Mahkamah membenarkan Rozaida dan Johan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 8 Dis depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/977/81b1c48e8fe02ec0cab50074a84f8578.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.