Rampasan dadah di Laos: Risikan Malaysia bantu bongkar sindiket dadah Filipina libatkan ahli politik
Risikan polis Malaysia membantu pihak berkuasa Filipina membongkar satu sindiket dadah besar yang didakwa mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik di Filipina, susulan rampasan 521kg metamfetamin di Laos awal bulan ini.
Apabila dihubungi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, mengesahkan wujudnya kerjasama berterusan antara polis Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).
Dia berkata, kedua-dua agensi telah mencapai persetujuan semasa satu mesyuarat dua hala di Kota Kinabalu, Sabah, pada 20 Oktober.
“Dalam kes di Laos, kami (PDRM-PDEA) telah berkongsi dapatan masing-masing. Kedua-dua agensi bersetuju untuk bertukar-tukar dokumen dan butiran,” kata Hussein kepada Malaysiakini.
“Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh PDRM, PDEA berjaya membongkar satu sindiket dadah besar yang mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik Filipina,” katanya.
Ketua Pengarah PDEA, Isagani Nerez, bersama tiga delegasi daripada agensi Filipina itu telah menghadiri mesyuarat tersebut.
Mesyuarat dua hala itu telah dijadualkan sebelum rampasan dadah pada 1 Oktober di Laos, dan pada asalnya bertujuan membincangkan isu penyeludupan dadah serantau serta kerjasama antara kedua-dua negara.
Walau bagaimanapun, Hussein memberitahu New Straits Times pada 17 Oktober bahawa pihak berkuasa Malaysia akan menggunakan mesyuarat tersebut untuk bertukar maklumat mengenai sindiket yang didakwa berada di sebalik penghantaran metamfetamin itu, yang dipintas di Laos sebelum sempat tiba di Manila.
Pengesahan ini dibuat ketika pihak berkuasa Filipina memperluaskan siasatan mereka terhadap cubaan penghantaran tersebut, dengan polis mengeluarkan kira-kira 40 sapina kepada individu, syarikat, dan agensi kerajaan.
/file/attachments/orphans/833653720_1637627131046199_8231528450288828952_n_114466.jpg)
Menurut Philippine Daily Inquirer, Pengarah Kumpulan Siasatan dan Pengesanan Jenayah (CIDG) Polis Kebangsaan Filipina, Mejar Jeneral Robert Alexander Morico II, berkata tujuh daripada 11 individu yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pihak berkepentingan telah hadir di hadapan penyiasat, manakala empat lagi tidak dapat dikesan.
Antaranya ialah bekas ahli parlimen Bangsamoro Transition Authority, Edrieza Hadji Nasser Rimbang, yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Filipina sebagai individu yang didakwa membiayai operasi tersebut.
Seorang lagi ialah Abdulkarim Macalatas, yang didakwa sepatutnya menerima penghantaran itu sebaik sahaja ia tiba di Manila. Morico turut mendedahkan bahawa pihak penyiasat telah mengesan transaksi berjumlah kira-kira 11.5 juta peso (RM800,000) yang didakwa mempunyai kaitan dengan operasi tersebut, termasuk kira-kira tujuh juta peso yang dilaporkan dibelanjakan untuk menyewa pesawat peribadi itu.
Perkembangan terkini ini menyusuli penemuan awal oleh Bukit Aman berhubung operasi tersebut dari sudut Malaysia, khususnya urusan penyewaan jet peribadi yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Pada 13 Oktober, Hussein menyatakan bahawa pihak penyiasat Malaysia telah mengenal pasti beberapa individu yang dikaitkan dengan sindiket itu dan merakam keterangan daripada saksi, termasuk seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai orang tengah (broker) bagi penyewaan pesawat berkenaan.
/file/attachments/orphans/833794875_1787281315874747_2645309008970993366_n_631245.jpg)
Menurut polis Filipina, broker tersebut memaklumkan bahawa pesawat itu disewa oleh seorang lelaki warga Filipina berusia 54 tahun, yang digambarkan sebagai bekas juruterbang dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah di Filipina.
Pihak penyiasat turut mengenal pasti seorang wanita warga Filipina berusia 51 tahun yang dipercayai menjadi penyelaras sindiket tersebut.
Sebelum ini, Hussein mendedahkan bahawa seorang warga Filipina telah menempah pesawat itu pada 23 September dengan bayaran AS$49,500, dan penerbangan dari Laos ke Manila itu didakwa membawa produk vape.
Polis Malaysia menyatakan bahawa pesawat tersebut berlepas dari Subang menuju ke Luang Prabang pada 1 Oktober tanpa membawa sebarang kargo.
Pihak berkuasa Laos kemudiannya menemui 521kg metamfetamin di dalam jet peribadi tersebut, yang didakwa bertujuan untuk membawa dadah itu seterusnya ke Manila.
Polis Malaysia menegaskan bahawa dadah tersebut bukan berasal dari Malaysia dan tidak bertujuan untuk pasaran Malaysia.
Unit Siasatan Khas Bukit Aman sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 34 dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/9696826bfa1a65ea079f75dc64e2efea.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.