Penutupan sekolah secara mengejut bukan saja mengganggu pembelajaran murid, malah meletakkan ibu bapa yang berkerjaya dalam dilema untuk mengimbangi tuntutan pekerjaan, penjagaan anak dan keperluan memastikan pelajaran mereka tidak tercicir.

Meskipun sekolah mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), dan ibu bapa mengakui kesihatan murid perlu diutamakan sekiranya sekolah ditutup akibat cuaca atau wabak, ibu seperti Fatin Aimi Shukor mengimbangi tanggungjawab terhadap anak-anak dan majikan bukan perkara yang mudah.

“Untuk anak saya yang berumur bawah 12 tahun, saya perlu memberi bimbingan sepenuhnya sedangkan dengan keadaan saya bekerja, masa yang dapat saya luangkan sangat sedikit iaitu pada sebelah malam.

“Hanya pada hujung minggu barulah dapat lebih fokus. Tetapi tugasan yang diberikan sudah banyak yang ketinggalan,” katanya kepada Malaysiakini.

Keadaan itu menggambarkan cabaran yang mungkin dihadapi sesebuah keluarga sekiranya sekolah sekali lagi terpaksa ditutup akibat jerebu, cuaca panas melampau atau keadaan kecemasan lain.

Walaupun jerebu mungkin berkurangan dengan perubahan cuaca dan sebahagian murid sudah selesai menduduki peperiksaan untuk tahun ini, persoalan mengenai kesinambungan pembelajaran tetap relevan memandangkan penutupan sekolah akibat cuaca ekstrem berpotensi berulang pada masa depan.

Persoalannya bukan sekadar bagaimana murid boleh meneruskan pembelajaran dari rumah, tetapi jika semua keluarga mempunyai kemudahan, masa dan sokongan yang mencukupi untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan.

Antara cabaran utama yang dihadapi ibu bapa apabila sekolah ditutup secara mengejut ialah kekurangan peranti untuk membolehkan anak-anak mengikuti PdPR, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai beberapa orang anak bersekolah.

Fatin, 37, berkata ketiga-tiga anaknya terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit yang sama untuk menyiapkan tugasan masing-masing kerana mereka tidak mempunyai peranti yang mencukupi.

Selain itu, keluarganya juga tidak mempunyai kemudahan wi-fi di rumah justeru hanya bergantung pada hotspot telefon yang kadangkala mempunyai kelajuan perlahan sehingga menyebabkan anak-anak bosan menunggu tugasan selesai.

”Ada masanya liputan talian terlalu perlahan dan loading (memuat) yang lama, sampai anak-anak pun naik bosanlah menunggu untuk selesaikan tugasan yang cikgu mereka beri,” katanya.

Mungkin kena 'angkut' anak ke pejabat

Cabaran sama turut dihadapi oleh dua lagi ibu bapa yang dihubungi Malaysiakini, manakala ibu bapa yang lebih berkemampuan sedar bahawa itu adalah isu bagi yang lain.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda), Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, berkata kekurangan peranti dan akses internet bagi keluarga berpendapatan rendah adalah perkara yang perlu ditangani oleh kerajaan untuk memastikan kejayaan PdPR.

“Masih ramai yang tidak mempunyai gajet dan masih ada banyak kawasan di negara kita, macam di pedalaman dan kawasan luar bandar yang agak terpencil, memang tidak mempunyai akses yang baik.

“Apabila kita cakap tentang akses, ia bukan sekadar isu talian sahaja. Talian itu kadang-kadang kalau ada tetapi terlalu perlahan pun tak dapat digunakan oleh anak-anak.” Katanya.

Namun, cabaran yang dihadapi keluarga untuk memastikan anak-anak dapat belajar melalui PdPR tidak terhad kepada kemudahan seperti peranti dan internet.

Penutupan sekolah secara mengejut turut menyukarkan ibu bapa mengimbangi tuntutan pekerjaan dengan tanggungjawab memantau pembelajaran dan menjaga anak-anak.

Gambar hiasan.

Bagi Fadzilawati Ibrahim, 40, masalah timbul apabila ibu bapa perlu mengatur cuti atau mendapatkan pengasuh dalam masa singkat apabila pengumuman penutupan sekolah dibuat secara tiba-tiba.

“Kadang-kadang semasa petang sekolah buka, malam pula keluar kenyataan sekolah tutup. Kalau sekolah tutup secara mengejut, memang susah nak mengatur cuti dengan pengasuh. Kalau umum awal, tak ada masalah sebab kita boleh atur,” katanya.

Ibu bapa yang tidak dapat mengambil cuti atau mendapatkan penjagaan alternatif mungkin terpaksa membawa anak ke tempat kerja dan berdepan kemungkinan gangguan tugas dan menimbulkan ketidakselesaan kepada rakan sekerja.

Bagi sesetengah ibu bapa seperti seorang usahawan yang mahu dikenali sebagai Esther, anak-anak hadir di pejabat bukan suatu masalah.

“Saya bekerja juga. Tetapi (apabila sekolah tutup) anak-anak akan ada bersama-sama saya di pejabat dan mereka akan duduk di satu sudut untuk buat kelas online, kemudian saya akan buat kerja lain.

“Mereka tak ada ganggu saya, jadi, saya rasa okay,” katanya.

Mungkin 'banyak main' berbanding belajar

Wanita berumur 40 tahun itu berkata keluarganya tidak menghadapi masalah mengikuti sesi PdPR kerana anak-anaknya sudah biasa menggunakan Google Classroom sejak pandemik Covid-19 melanda dulu.

Katanya, peralihan daripada pembelajaran bersemuka kepada dalam talian dapat dilakukan dengan mudah, dan anak-anaknya pula boleh mengikuti aktiviti yang disediakan guru tanpa menjejaskan kerjanya.

Namun, tidak semua ibu bapa bekerja dalam persekitaran yang kondusif bagi anak-anak untuk mengikuti kelas PdPR.

Antara mereka yang pernah menghadapi masalah di tempat kerja jika anak-anak dibawa bersama ialah Shariffah Nurhidayah Syed Abu Samah, 39.

“Budak-budak kadangkala akan bercakap atau buat bising, jadi saya sendiri rasa serba salah dan risau kalau ada rakan sekerja yang kurang selesa,” katanya.

Dalam apa situasi pun, kata Shariffah, sukar untuk dia membahagikan masa untuk memantau sesi PdPR dan memastikan anak-anaknya menyiapkan latihan mengikut jadual harian.

“Semasa PdPR, anak kena ikut kelas atau buat latihan secara dalam talian mengikut subjek harian.

 “Memang agak susah nak bahagikan masa antara kerja dan pantau pembelajaran anak, terutamanya kalau ibu bapa kena bekerja seperti biasa,” katanya.

Apabila ibu bapa terpaksa membahagikan perhatian antara kerja dan anak-anak, fokus anak-anak semasa kelas PdPR turut terjejas.

Palani Nair, 41, berkata masalah itu lebih ketara bagi anak-anak yang masih di sekolah rendah.

Gambar hiasan.

“Kelas online untuk anak sekolah menengah okay sebab dia tahu dia memang kena belajar, tapi untuk anak sekolah rendah, dia banyak main sikit.

“Sebab itu emak dia kena monitor selalu, tak boleh biar dia belajar seorang diri,” katanya yang juga seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Kelalaian anak-anak lebih meluas jika ibu bapa terpaksa keluar rumah atas urusan kerja seperti yang dialami oleh Saiful Hamdi Saad, 41.

“Bagi saya apabila anak-anak terpaksa mengikuti PdPR, sangat susah nak fokus sebab banyak lagi benda lain yang menarik perhatian mereka, lebih-lebih lagi jika tiada kawalan ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja seharian.

“Biasanya mereka lebih banyak bermain daripada belajar,” katanya.

Mengulas lanjut, pada pandangan Anuar, PdPR kurang berkesan bagi murid tahun satu hingga tahun tiga yang masih baru menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira serta memerlukan interaksi bersemuka dengan guru.

“Banyak kajian mengesahkan bahawa pembelajaran secara dalam talian untuk pelajar berumur tujuh, lapan dan sembilan tahun tidak begitu berkesan. Ia boleh dilaksanakan tetapi tidak berkesan,” katanya.

Bukan angka semata-mata

Sebagai alternatif bagi murid sekolah rendah, Anuar mencadangkan murid tahun satu hingga tahun tiga dibenarkan meneruskan pembelajaran secara bersemuka di ruang tertutup yang sesuai di sekolah, sekiranya keadaan mengizinkan.

Katanya, perpustakaan, bilik komputer, makmal, dewan atau surau yang mempunyai pengudaraan serta kemudahan sesuai boleh dipertimbangkan bagi membolehkan murid terus belajar bersama guru.

Bagi murid sekolah menengah pula, katanya, PdPR lebih praktikal kerana mereka lebih mampu mengurus pembelajaran secara kendiri.

Anuar turut menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan garis panduan jelas mengenai kaedah pengajaran, pedagogi berkesan serta pembahagian tanggungjawab antara sekolah, ibu bapa dan agensi berkaitan apabila sekolah terpaksa ditutup akibat bencana.

“Pelaksanaan PdPR tidak boleh berlaku secara spontan. Ia mestilah mempunyai garis panduan yang jelas.

“Kita kena ada kaedah, kalau tidak semasa anak-anak berada di rumah dan mereka tidak belajar dengan baik melalui PdPR akan merugikan masa pembelajaran mereka,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi KPM untuk mendapatkan reaksi atau ulasan mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Wan Marzuki Wan Jaafar, pula berkata pelaksanaan PdPR memerlukan pendekatan pengajaran yang fleksibel, termasuk penggunaan bahan pembelajaran luar talian dan tugasan kendiri mengikut kemampuan murid.

Gambar hiasan.

Katanya, keberkesanan pembelajaran tidak seharusnya dinilai berdasarkan kehadiran murid dalam talian semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira tahap penglibatan, kefahaman dan pencapaian mereka.

“Pihak sekolah perlu mempunyai pelan kesiapsiagaan yang jelas supaya peralihan daripada pembelajaran bersemuka kepada PdPR dapat dilaksanakan dengan teratur dan tidak membebankan guru, murid mahupun ibu bapa,” katanya.

Pada masa hadapan, cuaca ekstrem berkemungkinan menjadi norma sama ada panas melampau, jerebu atau banjir - dan bukan peristiwa luar biasa yang boleh ditangani secara ad hoc.

Ini bermakna penutupan sekolah untuk melindungi kanak-kanak akan menjadi isu yang berulang, dan memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan yang mereka perlukan dalam kes sedemikian memerlukan penyelesaian holistik.

Ia menutut bukan sahaja ibu bapa, tetapi kerajaan dan majikan memainkan peranan mereka dalam membentuk masa depan negara.