Takiyuddin enggan tarik balik ‘munafik’, cadang mediasi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan enggan menarik balik perkataan “munafik” yang digunakannya di Dewan Rakyat, sebaliknya mencadangkan mediasi dengan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu dipetik Harian Metro berkata dia sudah mengutus surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagi mencadangkan pertemuan antara mereka dengan Speaker sebagai pengantara.
“Saya tidak tarik balik. Sebaliknya saya buat surat kepada Speaker dan mencadangkan Speaker supaya mengadakan mediasi.
“Mediasi ini adalah Speaker panggil saya, panggil Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer masuk dan bincang, cuba selesaikan,” katanya pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di Kota Bharu malam tadi.
Program itu turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Takiyuddin, surat berkenaan diterima pihak Yang di-Pertua pada Khamis lalu (22 Okt), iaitu tarikh akhir yang ditetapkan untuknya menarik balik perkataan tersebut.
“Saya kini menunggu maklum balas daripada Speaker sama ada cadangan mediasi itu akan dilaksanakan atau sebaliknya.
“Sama ada mediasi tu ada ke tiada. Kalau tidak ada mediasi, mungkin saya dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.
Pertikaian di Dewan Rakyat
Pertikaian itu tercetus pada Isnin (19 Okt) apabila Takiyuddin memetik hadis mengenai ciri-ciri orang munafik, termasuk mungkir janji, ketika membahaskan Belanjawan 2027.
Dia mengulas penggunaan istilah Arab “waad”, yang bermaksud janji, oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Rayer membantah kerana menganggap Takiyuddin secara tidak langsung melabelkan Anwar sebagai munafik, sekali gus mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Takiyuddin bagaimanapun membalas: “Saya tak sebut Perdana Menteri pun.”
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau meminta Rayer mengemukakan usul kepada pejabat Speaker bagi membolehkan perkara itu diteliti.
Pada Rabu (21 Okt), Johari mengarahkan Takiyuddin menarik balik perkataan tersebut selewat-lewatnya keesokan hari selepas meneliti Penyata Rasmi (Hansard) persidangan.
Johari berkata penarikan balik itu boleh dibuat sama ada di Dewan Rakyat atau secara bertulis kepadanya.
Rayer pula dibenarkan meneruskan usulnya sekiranya Takiyuddin gagal mematuhi arahan tersebut.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/4754873d2a5bd3e270f2a0a1a6b3f5c6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.