MCA dikatakan tidak berpuas hati dengan agihan kerusi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menyaksikan tujuh kerusi diperuntukkan kepada PAS dan rakan strategik gabungan itu.

MCA bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021, tetapi kali ini hanya diperuntukkan dua kerusi, manakala MIC mendapat satu kerusi.

Ketika ditanya sama ada agihan itu boleh berubah, Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh menegaskan senarai calon telah dimuktamadkan selepas mengambil kira pelbagai faktor.

“Mengapa perlu ada perubahan? Kita sudah meneliti setiap sudut sebelum membuat keputusan dan memuktamadkan nama calon.

“Jadi, mengapa perlu ada perubahan? Melainkan (calon itu) meninggal dunia,” katanya seperti dilapor The Star.

Ab Rauf berkata demikian pada sidang media selepas BN mengumumkan senarai 21 calonnya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi.

Dia bagaimanapun berkata dia belum mendapat maklumat lengkap mengenai pendirian MCA berhubung agihan berkenaan.

Sementara itu, Ab Rauf menegaskan tiada pertindihan dengan rakan gabungan BN di Sungai Udang, yang akan ditandingi calon dari Umno Rais Yasin.

Kerusi itu dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2021.

Penyandangnya, Mohd Aleef Yusof, yang kini menyertai Parti Wawasan Negara, sebelum ini meminta BN menghormati hak PN untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

“Jika dia mahu membuat bising, itu hak dia. Kita tidak berurusan dengannya,” kata Ab Rauf.

Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Okt, manakala pengundian berlangsung pada 14 Nov.