Tindakan sekumpulan individu yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik di Australia berisiko menjejaskan reputasi rakyat negara ini yang belajar dan bekerja di sana, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

Merujuk tindakan kumpulan yang menamakan diri mereka Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia itu, Mustapha berkata perbuatan menghina lambang kedaulatan negara tidak mencerminkan budaya penduduk Sabah dan Sarawak yang beradab dan santun.

“Kerajaan Madani menjamin kebebasan bersuara. Namun, kebebasan bukan bermakna seseorang terlepas daripada implikasi atas tindakannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian, hari ini.

Mustapha mengulas tindakan kumpulan itu yang mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika demonstrasi sempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne, semalam.

Kumpulan itu mendakwa demonstrasi berkenaan bertujuan mendesak supaya persoalan sejarah, hak rakyat serta masa depan politik Sabah dan Sarawak mendapat perhatian antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mustapha menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi kepada polis supaya kandungan media sosial yang memaparkan bendera kebangsaan secara terbalik disiasat mengikut undang-undang berkaitan.

Mustapha berkata keadaan hari ini berbeza berbanding lebih 20 tahun lalu, ketika perjuangan menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dianggap sebagai isu sensitif dan ada pihak yang ditahan serta berdepan tindakan undang-undang.

“Lebih 20 tahun lalu, perjuangan MA63 dianggap isu sensitif, ada yang ditahan pihak berkuasa dan berdepan dengan tindakan undang-undang. Hari ini, hak Sabah dan Sarawak boleh dibincangkan secara terbuka, malah menjadi agenda utama Kerajaan Madani,” katanya.

Menurut Mustapha, sebanyak 12 daripada 16 perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan dalam tempoh hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dia turut berkata pemberian khas interim kepada Sabah meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun, manakala rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah masih diteruskan.

“Rakyat boleh menilai sendiri hasil perjuangan melalui rundingan dan tindakan berbanding provokasi sebegini,” katanya.

Sementara itu, tindakan kumpulan berkenaan turut mencetuskan kecaman pengguna media sosial Malaysia selepas gambar dan video demonstrasi itu dikongsi menerusi Facebook Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SKMM.

Hantaran itu memaparkan beberapa individu memegang bendera Sabah dan Sarawak, selain poster yang melabelkan Malaya sebagai penjajah serta imej Jalur Gemilang yang dikoyak dan diterbalikkan.

Turut dipaparkan poster yang mendakwa Sabah dan Sarawak akan membawa persoalan berkaitan hak mereka kepada PBB.

Sebahagian warganet mengecam tindakan berkenaan, dengan ada yang menyifatkan kumpulan itu sebagai pengkhianat dan mempersoalkan kesetiaan mereka kepada Malaysia.

Pengguna media sosial, termasuk dari Sabah dan Sarawak, turut menegaskan bahawa apa jua perjuangan yang dibawa, Jalur Gemilang sebagai lambang negara sewajarnya dihormati.

Mereka juga menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan dan menggesa isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.

Selain itu, beberapa warganet menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian berkenaan dan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap akaun media sosial kumpulan itu, termasuk menyekatnya.