Peguam Kamal Hisham Jaafar berkata pasukannya sedang mengumpulkan bukti berhubung kecaman, cercaan dan dakwaan fitnah terhadapnya di media sosial untuk tindakan undang-undang sewajarnya.

Kamal Hisham berkata pasukan guamannya sedang meneliti kandungan yang didakwanya melampaui batas undang-undang.

Menurutnya, kecaman itu tidak akan menghalangnya daripada menjalankan tugas sebagai peguam yang mewakili dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Kamal Hisham berkata dia bertindak sebagai peguam pemerhati bagi memastikan proses siasatan dan perbicaraan kes berkenaan berjalan secara telus, selain mewakili kedua-dua anggota polis dalam tuntutan sivil berkaitan.

Katanya, penglibatannya dalam kes itu berasaskan tanggungjawab profesional dan bukannya kepentingan peribadi.

“Serangan di media sosial tidak akan mengalih perhatian saya daripada tanggungjawab ini atau melemahkan semangat saya daripada membela orang berpangkat rendah yang telah menjadi mangsa buli orang yang berjawatan tinggi,” katanya.

Kamal Hisham mendakwa perbuatan yang menjadi pokok pertikaian itu berlaku berulang kali, tetapi sebelum ini dikaburkan dan terlepas tanpa tindakan.

Katanya, kes berkenaan dikendalikan secara pro bono atau tanpa bayaran, seperti beberapa kes lain yang pernah dikendalikannya.

“Saya percaya bahawa keadilan hanya boleh ditentukan melalui mahkamah, bukan melalui kecaman awam,” katanya.

Kamal Hisham turut menggesa orang ramai supaya tidak mudah mempercayai kempen di media sosial, sebaliknya meneliti fakta, bukti dan latar belakang pihak terlibat sebelum membuat penilaian.

Pada 12 Okt lalu, dua anggota polis berkenaan membuat laporan polis tambahan bagi mengemukakan keterangan baru untuk membantu siasatan terhadap dakwaan mereka dikasari Shuhaily.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Dalam kenyataan sama, Kamal Hisham turut menyentuh pengampunan diraja yang diterimanya daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2018.

Dia berkata pengampunan tanpa syarat itu telah diumumkan secara rasmi oleh Istana Johor dan menganggap perkara berkenaan telah selesai.

Kamal turut menafikan dakwaan di media sosial bahawa dia pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah, sambil berkata dia masih menjalankan tugas sebagai peguam bela dan peguam cara secara aktif.

Bagaimanapun, laporan Malaysiakini pada Julai 2018 menyebut Kamal didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965. Mahkamah turut mengambil kira 16 pertuduhan lain ketika menjatuhkan hukuman.

Sebelum itu, pada Jun 2018, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan kepada Kamal selepas menerima permohonan maaf daripadanya berhubung pertikaian berpanjangan dengan keluarga diraja Johor.