Mayat lelaki yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah rumah berkembar dua tingkat di Taman Seri Rambai, Paya Terubong di Pulau Pinang dikeluarkan pada 11.20 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa dikenali sebagai Wong Kar Lin, 73, seorang doktor di sebuah klinik.

“Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang terlibat dalam operasi itu mengeluarkan mayat mangsa dari bawah runtuhan konkrit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

John berkata mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, isteri mangsa Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mertuanya Wong Poh Lim yang berusia 80-an berjaya menyelamatkan diri.

John berkata kejadian mungkin berlaku akibat hujan lebat berterusan semalam yang menyebabkan struktur tanah tidak stabil, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Susulan kejadian itu, beliau berkata penghuni di enam rumah di kawasan berhampiran diarahkan mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata setakat 12.35 tengah hari ini, bomba masih menjalankan kerja pemeriksaan dan pembersihan di lokasi bagi memastikan kawasan tersebut selamat.

“Mesyuarat bencana peringkat daerah dijadualkan diadakan bagi membincangkan tindakan susulan dan langkah keselamatan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

- Bernama