Bersatu mempertikai tindakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan memanggil mesyuarat tergempar yang akan didadakan malam ini ketika kesahihan gabungan itu masih dalam pertikaian.

Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali berkata meskipun mahkamah menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu pada 20 Okt lalu, statusnya dianggap masih kekal dalam penghakiman yang telah dibuat.

Pemimpin Bersatu itu juga menyorot rayuan telah difailkan oleh pihak Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Okt bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri merayu keputusan dibuat hakimen Mahkamah Tinggi.

"Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Okt untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN apabila beliau sedia maklum bahawa pada hari yang sama, satu notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan seperti yang telah dijelaskan di atas.

"Bersatu berpendapat bahawa memandangkan satu notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan perkara yang menjadi intipati rayuan ini adalah bagi merayu terhadap keseluruhan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak hendaklah memelihara status quo keputusan ROS sehingga pelupusan semua peringkat prosiding mahkamah telah ditempuh sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Okt lalu, PN dilapor boleh meneruskan perancangan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan keputusan ROS yang membatalkan pendaftaran gabungan pembangkang itu.

Penangguhan itu dibenarkan susulan permohonan PN sebelum ini yang bertujuan menghalang ROS daripada mengambil tindakan lanjut terhadap gabungan tersebut. Mahkamah mendapati bahawa pembatalan pendaftaran selepas itu berisiko menjejaskan permohonan berkenaan sebelum semakan kehakiman dapat diputuskan.

Bagaimanapun, Hakim Azizan Arshad berkata penangguhan itu kekal berkuat kuasa sehingga semakan kehakiman PN yang mencabar pembatalan pendaftaran berkenaan didengar dan diputuskan.

PN dijadualkan akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini dan Takiyuddin mengesahkan jemputan telah dihantar kepada Bersatu.

Sementera itu, Azmin mengingatkan bahawa di bawah seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966, mana-mana pertubuhan yang telah dibatalkan pendaftarannya adalah menjadi pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

"Manakala, di bawah seksyen 42 Akta yang sama, mana-mana pemegang jawatan atau mana-mana orang yang menguruskan atau membantu dalam pengurusan mana-mana pertubuhan yang menyalahi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun," katanya.

Tambah Azmin, sekiranya PAS dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat dalam situasi semasa, Bersatu khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu mempunyai implikasi perundangan yang serius.