Lawyers for Liberty (LFL) akan mengetuai perarakan ke Parlimen esok bagi menuntut keadilan atas kematian Noorizwan Zulkefly dalam tahanan polis serta mendesak penubuhan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Pengarah LFL, Rania Aljunied, berkata keluarga dan rakan Noorizwan, pertubuhan masyarakat sivil, peguam serta rakyat Malaysia yang prihatin akan menyertai perarakan itu bagi menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen.

Dalam kenyataan hari ini, Rania berkata lebih tiga minggu selepas kematian Noorizwan, tiada anggota polis digantung tugas atau ditahan, sekali gus menunjukkan tiada pihak dipertanggungjawabkan setakat ini.

Dia menyifatkan kes itu sebagai kes kematian dalam tahanan paling buruk sejak kes A Kugan pada 2009.

Rania berkata walaupun Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat kes itu, siasatan masih belum diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Malah, tiada pegawai polis digantung tugas atau ditahan selepas kematian Noorizwan dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu. Jadi, keadilan belum ditegakkan,” katanya.

Noorizwan, 42, ditahan polis di Cheras pada 19 September bagi membantu siasatan berkaitan kes dadah, pecah rumah dan kecurian. Dia dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 30 Sept sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.

Menurut laporan media, bedah siasat mendapati tiada kecederaan pada organ dalaman Noorizwan, namun beberapa kecederaan luaran dikenal pasti. Punca sebenar kematiannya masih menunggu analisis makmal.

Pada 25 Okt, Mohd Khalid mengarahkan JSJ Bukit Aman menjalankan siasatan segera susulan penemuan beberapa kecederaan luar biasa pada tubuh Noorizwan.

Polis sebelum ini mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, manakala Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) meneruskan siasatan. Kes itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Keluarga Noorizwan sebelum ini menuntut penjelasan mengenai keadaan yang membawa kepada kematiannya serta menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan.

Pada 24 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengarahkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, selain memastikan perkembangan kes dimaklumkan kepada keluarga.

De

Dalam kenyataan terbaru, LFL berkata kematian Noorizwan mengukuhkan keperluan untuk menubuhkan IPCMC dengan segera sebagai badan bebas bagi menangani aduan dan salah laku polis.

Cadangan penubuhan IPCMC bukan perkara baru. Ia dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 2005 sebagai antara syor utama untuk memperkukuh akauntabiliti polis dan menangani dakwaan salah laku.

Pada 2019, kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang IPCMC di Parlimen, namun ia kemudian ditarik balik dan digantikan dengan rang undang-undang bagi menubuhkan IPCC.

Akta IPCC 2022 berkuat kuasa pada 1 Julai 2023. Bagaimanapun, desakan untuk menubuhkan IPCMC diteruskan oleh pihak yang mahu sebuah badan pengawasan polis dengan kuasa dan kebebasan yang lebih menyeluruh.