Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini menolak rayuan bekas pengurus agensi pelancongan yang memohon hukuman penjara tujuh tahun terhadapnya kerana menembak isterinya dan mencederakan seorang pengawal peribadi, dikira bermula dari tarikh tangkapannya pada 2024.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim memutuskan perintah Mahkamah Sesyen Sepang supaya hukuman penjara terhadap Hafizul Hawari, 39, bermula selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kesalahan berasingan di Kota Bharu, Kelantan adalah sah di sisi undang-undang dan adil.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 19 Okt lepas, beliau menegaskan keputusan itu selaras dengan peruntukan Seksyen 292 Kanun Tatacara Jenayah

“Setelah meneliti Rekod Rayuan, alasan rayuan, nota prosiding serta hujahan bertulis kedua-dua pihak, saya mendapati perintah Hakim Mahkamah Sesyen adalah sah di sisi undang-undang dan adil.

“Sehubungan dengan itu, rayuan perayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ditolak dan perintah hakim Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Dis 2025 dikekalkan,” menurut dokumen itu.

Dalam permohonan rayuan yang difailkan, pihak pembelajaan berhujah bahawa Hafizul telah direman tanpa jaminan dari 15 April 2024 hingga 5 Dis 2025, iaitu hampir 20 bulan dan tempoh berkenaan sepatutnya diambil kira dalam menentukan hukuman yang dijatuhi terhadapnya.

Pihak pembelaan turut mengemukakan hujahan bahawa Hafizul telah mengaku bersalah pada peringkat awal, tidak memiliki sebarang rekod jenayah sebelum kejadian itu serta telah menunjukkan rasa kesal atas perbuatannya.

Sebelum ini, Hafizul mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh isteri, yang kini sudah berpisah, Farah Md Isa, 40, dan dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi mangsa, Mohd Nur Hadith Zaini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 pada 14 April 2024.

Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kesalahan cubaan membunuh dan tujuh tahun bagi kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman penjara tujuh tahun bermula selepas dia selesai menjalani hukuman penjara bagi kes di Kota Bharu.

Pada 25 Feb 2025, Hafizul dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana memiliki sepucuk pistol jenis Glock 19 secara tidak sah serta hukuman tiga tahun penjara bagi setiap kesalahan memiliki peluru tanpa lesen dan mercun tanpa permit.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan bagi setiap satu daripada tiga pertuduhan memiliki kad pengenalan milik orang lain serta hukuman penjara selama satu tahun kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu.

Semua hukuman berkenaan diperintahkan berjalan serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 15 April 2024.

- Bernama