Kemudahan bebas cukai Langkawi bukan bertujuan membantu golongan kaya menyimpan kereta mewah di pulau itu selama beberapa tahun sebelum membawanya ke Kawasan Utama Kastam bagi mengurangkan pembayaran cukai.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata perubahan dasar pengecualian duti dan cukai bagi kenderaan bukan sahaja dibuat bagi menangani ketirisan, tetapi turut mengambil kira model perniagaan berkenaan yang tidak mahu digalakkan oleh kerajaan.

“Jadi, inilah isu asas atau pokoknya bahawa model perniagaan ini bukan model perniagaan yang kita ingin galakkan dan kita harap dasar ini boleh diterima oleh semua rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Suhaimi meminta penjelasan kerajaan supaya mengkaji semula had RM300,000 bagi pengecualian cukai kenderaan di pulau itu serta mempertimbangkan penguatkuasaan lebih ketat bagi menangani penyalahgunaan kemudahan berkenaan.

Liew berkata terdapat segelintir pengusaha yang terjejas, namun penduduk tempatan di Langkawi tidak terganggu oleh dasar tersebut.

Terdahulu, Liew berkata pengecualian duti dan cukai bagi kenderaan dihadkan kepada nilai tidak melebihi RM300,000 mulai 1 Jan lepas bagi mengatasi penyalahgunaan kemudahan itu oleh kenderaan mewah milik golongan kaya.

Beliau berkata penetapan had itu munasabah dan mencukupi bagi menampung keperluan penduduk tempatan, pengusaha kereta sewa, teksi dan kenderaan komersial, sambil memastikan kemudahan berkenaan kekal bersasar kepada kenderaan kegunaan harian rakyat dan sektor perusahaan tempatan di Langkawi.

“Sungguhpun terdapat perubahan dasar pengecualian cukai untuk produk tertentu di Pulau Langkawi, status Pulau Bebas Cukai (PBC) Langkawi masih berkuat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata kerajaan melalui pengumuman Belanjawan 2027 telah menaikkan had amaun kelayakan pembelian barangan bebas cukai bagi pelawat dan pelancong daripada RM1,000 kepada RM10,000.

Beliau berkata peningkatan itu merangkumi pelbagai kategori barangan baharu seperti aksesori fesyen termasuk jam tangan dan beg tangan, barangan elektrik dan elektronik serta tekstil, kecuali antaranya produk merokok dan kenderaan bermotor.

“Peningkatan had nilai juga memberikan ruang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berbelanja lebih tinggi, seterusnya memberikan limpahan ekonomi secara terus kepada pemilik kedai bebas cukai dan usahawan tempatan di Langkawi.

“Pada masa yang sama, penetapan syarat penginapan minimum selama 48 jam akan merancakkan sektor perhotelan, inap desa, perkhidmatan pengangkutan serta industri makanan dan minuman, sekali gus memastikan manfaat ekonomi dinikmati secara meluas oleh seluruh ekosistem pelancongan pulau berkenaan,” katanya.

Liew berkata kerajaan turut mengemas kini dan memperluas barangan buatan Langkawi yang layak mendapat kemudahan pengecualian duti import daripada 23 kepada 29 barangan apabila dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam.

“Pendekatan ini akan memberikan manfaat, khususnya kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Langkawi. Kedua-dua kemudahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2027,” katanya.

- Bernama