Apa rasional pin Jalur Gemilang RM8.4 juta sedangkan pelajar jarang memakainya
Apa justifikasi peruntukan RM8.4 juta bagi program pin Jalur Gemilang kepada pelajar?
Ini antara soalan yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen Arau dari PAS, Shahidan Kassim, yang meminta jawapan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai perbelanjaan kontroversi itu serta sama ada kementeriannya membuat sebarang analisis kos-faedah dan kajian terhadap keberkesanannya.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Fadhlina tidak menerangkan secara langsung keperluan perbelanjaan berkenaan, tetapi berkata bahawa pin lencana tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan untuk memupuk semangat patriotisme, kasih sayang kepada negara, dan identiti kebangsaan dalam kalangan pelajar.
“Pelaksanaannya melengkapi pendidikan kenegaraan yang diterapkan melalui kurikulum, kokurikulum serta program dan aktiviti berkaitan di institusi pendidikan bawah KPM.
“Lencana Jalur Gemilang bukan sekadar aksesori pakaian seragam, sebaliknya merupakan salah satu medium pendidikan yang digunakan dalam persekitaran persekolahan,” katanya.
Sementara itu, tinjaun ringkas Malaysiakini pagi tadi bersama 25 ibu bapa mendapati hanya tiga daripada mereka yang menyatakan bahawa anak mereka masih memakai pin bendera itu ke sekolah, manakala empat yang lain memberitahu mereka menjahit lencana bendera pada pakaian seragam.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/53316359bc517932cc9b4f1e696f2b27.jpg)
Seorang bapa, yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam, berkata bahawa peruntukan untuk pin itu lebih baik digunakan untuk menambah baik kantin sekolah.
Pada Mac tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling yang mewajibkan semua pelajar di institusi bawah kementerian memakai lencana bendera kebangsaan.
Garis panduan tersebut, yang diluluskan kabinet pada 14 Feb tahun itu, menetapkan bahan yang perlu digunakan untuk membuat lencana, saiznya, cara pelajar menyelaraskannya dengan tanda nama, serta arahan untuk menggantikannya jika rosak atau hilang.
Inisiatif itu menarik kritikan berhubung penggunaan dana awam, dengan anggota Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol membangkitkan bahawa peruntukan RM8.4 juta untuk lencana berkenaan melebihi RM3 juta yang diperuntukkan bagi memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah pada tahun lepas.
MCA turut membangkitkan kebimbangan mengenai beban kewangan tambahan, kebolehlaksanaan, dan risiko keselamatan yang berkaitan dengan pin lencana tersebut, selain kurangnya ketelusan berhubung syarikat yang terlibat dalam proses tender.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam maklum balasnya terhadap kritikan itu menyatakan isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan dan lencana berkenaan diberikan secara percuma.
"Apa yang susah sangat? Lencana diberi percuma. Pakai sahaja," katanya sambil menambah cadangan Kementerian Pendidikan sebenarnya sudah lama tertangguh.
Bagaimanapun, sebulan selepas mengumumkan dasar berkenaan, Kementerian Pendidikan menafikan bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap pelajar yang gagal memakai lencana tersebut.
Dalam soalan lazim (FAQ) mengenai inisiatif berkenaan, kementerian pendidikan menjelaskan penggunan lencana itu bukan satu "langkah penguatkuasaan".
Perkara ini hanya menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai status wajib arahan tersebut serta rasional perbelanjaan itu pada peringkat awal.
SEKADAR KONTRAK UNTUK KRONI?
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/04/507bbb91be73ca69515be08787d91e7e.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.