AI bukan untuk ganti tugas guru, akan dimanfaat bagi tangani kandungan 3R dalam talian
PARLIMEN | Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa penerapan kecerdasan buatan (AI) di sekolah bukan bertujuan menggantikan guru, sementara Kementerian Perpaduan Negara pula menegaskan penggunaan teknologi itu untuk membanteras kesalahan dalam talian.
Kenyataan menteri berkenaan di Dewan Rakyat hari ini dibuat ketika ahli parlimen dan orang ramai mendesak butiran mengenai cara kerajaan menerima guna AI dalam perkhidmatan awam, serta bentuk perlindungan yang akan disediakan.
Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata teknologi AI dimanfaatkan untuk pengesanan awal isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.
Pendekatan itu, katanya, merangkumi pemantauan, penapisan, dan pengesanan kandungan sensitif berkaitan isu raja, agama, dan kaum (3R), dengan matlamat mengelakkan komen sedemikian daripada mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat.
Sambil mengambil maklum penggunaan AI oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menganalisis sentimen dan memantau trend di media sosial, Aaron berkata teknologi itu turut digunakan untuk mengesan kandungan yang diubah suai secara digital yang berpotensi menyebarkan maklumat palsu atau mencetuskan perpecahan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/41f08d01e43b0398a2b7e60f95106d81.jpg)
Kementerian Perpaduan Negara, tambahnya, sentiasa meningkatkan kempen perpaduan dalam talian bagi menerapkan nilai keharmonian, saling menghormati, dan kebersamaan dalam kalangan orang ramai, dengan kementerian turut menggunakan ejen pengaruh media sosial untuk menyebarkan nilai berkenaan.
Menteri itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada V Sivakumar (PH-Batu Gajah), yang meminta butiran mengenai langkah yang diambil oleh Kementerian Perpaduan Negara dalam memanfaatkan AI untuk mengesan isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum, serta menyebarkan mesej perpaduan menerusi platform digital, khususnya kepada generasi muda.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudiannya turut berdepan soalan serupa daripada Nazri Abu Hassan (PN-Merbok), yang mempersoalkan perancangan kementerian untuk mengintegrasikan celik AI ke dalam silibus sekolah.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) juga meminta Fadhlina memperincikan bagaimana kementerian berhasrat mencegah kemerosotan nilai moral dalam kalangan murid celik AI.
Khususnya, anggota parlimen DAP itu menyoroti kes sebelum ini apabila wajah lebih 300 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan didakwa disunting menjadi imej bogel menggunakan AI.
Dalam jawapannya, Fadhlina menegaskan bahawa walaupun AI mungkin dapat membantu murid menyiapkan tugasan, guru dan ibu bapa tetap perlu memainkan peranan.
/file/attachments/orphans/4_854116.jpg)
"Keprihatinan, kasih sayang, dan pertimbangan manusia tidak boleh diserahkan kepada mesin," kata menteri itu, sambil menekankan bahawa dari segi integrasi AI di sekolah, teknologi itu "sama sekali tidak" dapat mengambil alih tugas teras guru.
Fadhlina seterusnya merujuk kepada Garis Panduan Celik AI Kementerian Pendidikan, yang katanya berkuat kuasa sejak 8 Mei, dengan mengambil maklum bahawa garis panduan itu menegaskan ibu bapa, guru, dan kanak-kanak sendiri memikul tanggungjawab dalam memastikan penggunaan AI yang selamat.
"Kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak ketinggalan dalam dunia AI, tetapi kita juga tidak mahu kemajuan teknologi menyebabkan mereka semakin bergantung kepada internet dan kurang berfikir.
"Teknologi akan terus berubah, tetapi tanggungjawab pendidikan tidak berubah - kita mesti memastikan kanak-kanak tahu cara berfikir, berpegang kepada nilai kemanusiaan, dan mengambil berat terhadap orang lain," tambahnya.
Dia juga berkata bahawa platform latihan untuk guru dan murid mengenai AI, DELIMa 3.0, dikawal oleh kementerian, sekali gus memastikan etika yang wajar kekal dipelihara sepanjang proses pembelajaran.
Lapor komen ini
/file/1349/07e88fca0e5b541b6c14a0807196f198.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.