Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer menolak cadangan Takiyuddin Hassan supaya diadakan mediasi berhubung keengganan setiausaha agung PAS itu menarik balik penggunaan perkataan "munafik" yang ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. semasa perbahasan.

Rayer memberitahu sidang media di Dewan Rakyat hari ini bahawa dia juga mengemukakan usul merujuk anggota Parlimen Kota Bharu itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan kontroversi berkenaan.

"Saya menolak cadangan Kota Bharu untuk sebarang bentuk mediasi atau perbincangan. Ini adalah makluman kepada media bahawa saya juga mengemukakan usul agar dia dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas penggunaan istilah 'munafik' semasa perbahasannya," katanya.

Semasa perbahasan Belanjawan 2027 pada 19 Okt, Takiyuddin memetik hadis mengenai ciri-ciri orang munafik, termasuk mungkir janji, ketika membahaskan Belanjawan 2027.

Dia mengulas penggunaan istilah Arab “waad”, yang bermaksud janji, oleh Anwar, semasa pembentangan belanjawan.

Rayer membantah dengan berhujah bahawa Takiyuddin secara tidak langsung melabel Anwar sebagai seorang munafik.

Susulan pertengkaran antara anggota Parlimen dari kedua-dua belah pihak itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Alice Lau akhirnya mengarahkan Rayer mengemukakan usul rasmi ke pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk pertimbangan lanjut.

Pada 21 Okt, Johari mengarahkan Takiyuddin menarik balik perkataan itu menjelang keesokan harinya selepas meneliti penyata rasmi parlimen (Hansard).

Takiyuddin bagaimanapun enggan menarik balik kata-katanya, sebaliknya mencadangkan mediasi dengan Rayer bagi menyelesaikan pertikaian tersebut.

Anggota Parlimen itu berkata dia telah menulis surat kepada Johari dengan mencadangkan agar speaker memanggil mesyuarat antaranya dengan Rayer untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

“Saya tidak tarik balik. Sebaliknya saya buat surat kepada Speaker dan mencadangkan Speaker supaya mengadakan mediasi.

“Mediasi ini adalah Speaker panggil saya, panggil Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer masuk dan bincang, cuba selesaikan,” katanya.