Zahid: Kerajaan timbang sekatan pergerakan pelarian Rohingya
Kerajaan sedang mempertimbangkan sekatan pergerakan terhadap pelarian Rohingya di Malaysia ketika memperluas program pendaftaran di seluruh negara untuk merangkumi pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di luar depot tahanan imigresen (DTI).
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan sekatan itu sedang diteliti dengan mengambil kira keselamatan negara, kedaulatan dan hak asasi manusia.
“Sehubungan itu, kerajaan turut meneliti kebolehlaksanaan cadangan mengenakan sekatan pergerakan terhadap golongan ini dengan mengambil kira keselamatan negara, kedaulatan dan hak asasi manusia,” katanya.
Zahid menyatakan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat.
Dia tidak memperincikan bentuk sekatan yang dicadangkan atau bila langkah itu mungkin dilaksanakan.
Zahid mengulangi kerajaan kini mengumpulkan data pelarian Rohingya di seluruh negara melalui program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Program itu masih dalam fasa pertama yang menumpukan individu yang ditahan di DTI. Fasa kedua dijangka bermula tidak lama lagi.
“Pelaksanaan fasa kedua DPP ini akan memfokuskan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di luar DTI.
“Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi tujuan berkenaan.
“Libat urus diadakan bagi mendapatkan maklum balas serta merancang tindakan yang bersesuaian bagi menyelaras isu membabitkan golongan ini di negara ini,” katanya.
Menurut Zahid, kerjasama menyelaras dasar berkaitan pelarian itu melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan.
Cadangan sekatan pergerakan itu dipertimbangkan ketika sentimen anti-Rohingya semakin memuncak, sebahagiannya didorong maklumat salah dan kempen media sosial.
Malaysia bukan negara yang memeterai perjanjian Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 dan tidak mempunyai kerangka undang-undang domestik yang menyeluruh untuk mengiktiraf status pelarian.
Peralihan kepada sistem pendaftaran yang dikawal kerajaan telah mencetuskan kebimbangan mengenai perlindungan pelarian, khususnya golongan Rohingya yang melarikan diri akibat penganiayaan di Myanmar dan berdepan masa depan tidak menentu di Malaysia.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/79e1864ca70fdae7593e1dd5ba6f0e8c.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.