Dua lelaki didakwa buat hantaran komunikasi jelik terhadap Tuanku Muhriz
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik melampau terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menerusi akaun media sosial, Ogos lepas.
Pengakuan penganggur Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan pereka grafik Ashadi Zul'izzi Zainal Abidin, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) direkodkan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Abdullah Aidid didakwa melakukan kesalahan itu menerusi aplikasi TikTok “rookiebenz_albenzauto” pada 11.27 malam 1 Ogos manakala Ashadi Zul’izzi didakwa melakukan perbuatan sama menerusi akaun Threads “razakahmad725” pada 2.39 petang 4 Ogos.
Hantaran itu masing-masing dilihat di Jalan Dutamas Seroja 5, Taman Segambut (SPPK) di Kuala Lumpur pada 12.34 tengah hari 4 Ogos dan 12.15 tengah hari 5 Ogos.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya serta didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS, mengambil kira pertuduhan melibatkan komunikasi jelik melampau terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Abdullah Aidid yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan telah diberhentikan kerja berikutan kes tersebut sejak tiga bulan lepas.
Ashadi Zul'izzi yang juga tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan di luar kemampuan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 1 Dis untuk sebutan semula kes.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/8d2e3060d6ef020b772519e8ff2dcac6.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.