Kesediaan Bersatu memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan Madani perlu dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkukuh kestabilan politik negara.

Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, berkata keterbukaan Putrajaya menawarkan kerjasama menerusi CSA bukan perkara baru, sebaliknya telah ditunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sejak awal pentadbiran kerajaan Madani.

Bagaimanapun, katanya, hanya selepas hampir empat tahun pentadbiran kerajaan, Bersatu tampil menyatakan kesediaan untuk memeterai perjanjian berkenaan.

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam membina ruang kerjasama politik yang lebih progresif, melangkaui perbezaan parti dan politik sempit.

“Dalam sebuah negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan tuntutan pembangunan, kestabilan politik merupakan antara prasyarat penting untuk memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Yuneswaran berkata, negara tidak boleh terus terperangkap dalam polemik dan persaingan politik kerana tanggungjawab mentadbir serta memenuhi harapan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Katanya, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama dalam perkara yang membawa manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Naib Presiden Wawasan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, yang mempersoalkan pendirian Bersatu berhubung pemeteraian CSA itu.

Dia dilapor membangkitkan percanggahan pendirian pemimpin Bersatu yang sebelum ini melabel enam bekas ahli parlimen parti itu sebagai pengkhianat kerana menyokong Anwar, tetapi kini turut memeterai perjanjian dengan kerajaan.

Yuneswaran yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, rakyat akhirnya menilai pemimpin berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan masalah dan membawa negara ke arah masa depan lebih baik, bukannya sejauh mana mereka berpolitik.