Persaingan satu lawan satu, tiga penjuru dominasi PRN Melaka
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang membuka tirai hari ini dengan proses penamaan calon menyaksikan persaingan satu lawan satu dan tiga penjuru masing-masing di 11 daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Baki enam kerusi pula menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon daripada parti politik yang bertanding.
Corak persaingan kali ini jauh berbeza berbanding PRN Melaka 2021 yang menyaksikan kebanyakan kerusi ditandingi lima atau enam calon, tanpa sebarang pertembungan satu lawan satu.
Bagi persaingan satu lawan satu, antara yang menjadi tumpuan ialah DUN Tanjung Bidara apabila penyandangnya yang juga Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN) dicabar muka baharu Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri.
Turut menjadi perhatian ialah DUN Rim yang menyaksikan penyandangnya Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira berdepan Ketua Wanita Keadilan Jasin Esma Eazreen Husin daripada PH.
Sementara itu, DUN Duyong menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ahli Jawatankuasa Aduan DAP Melaka Poo Long Suan daripada PH dengan penyandang Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mewakili BN, manakala di DUN Merlimau, penyandang Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh (BN) berdepan calon PH Rahayu Hamzah.
Bagi saingan tiga penjuru, DUN Machap Jaya menyaksikan penyandang Datuk Ngwe Hee Sem (BN) berdepan bekas penyandang Datuk Ginie Lim Siew Lin (PH) serta B Prasanth Kumar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Turut menjadi perhatian ialah DUN Paya Rumput apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin yang mewakili PH dicabar Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bersama Abdul Rashid Abu Bakar.
Pertandingan tiga penjuru turut berlaku di DUN Bandar Hilir membabitkan penyandang Leng Chau Yen daripada PH, Jasmine Lok Huey Yee (BN) dan Dr Mohd Nor Rashidi Ab Jalil (Bersama).
Bagi saingan empat penjuru, DUN Bukit Katil menyaksikan penyandang yang juga Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berdepan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN), Dr Aliza Che Amran (Bersama) dan calon Bebas Abu Bakar Sabudin.
Di DUN Ayer Keroh, penyandang Kerk Chee Yee (PH) pula dicabar Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (PN), Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu) dan Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama).
DUN Melaka yang mempunyai 28 kerusi dibubarkan pada 23 Sept selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Sebanyak 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis.
Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung 20 Nov 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN dengan UMNO menguasai 18 kerusi, MCA (dua) dan MIC (satu), sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti lebih dua pertiga.
PH pula menang lima kerusi menerusi DAP (empat) dan AMANAH (satu), manakala PN memperoleh dua kerusi.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/adly_127434.jpeg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.