Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, mempersoalkan tindakan pihak berkuasa terhadap tiga kanak-kanak lelaki Myanmar yang didakwa melakukan ugutan jenayah. Antaranya ialah dakwaan mereka digari ketika dibawa ke mahkamah.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, berkata penahanan kanak-kanak itu, penggunaan gari dan masalah penterjemahan menimbulkan persoalan sama ada hak serta perlindungan mereka sebagai kanak-kanak telah dipatuhi.

Kenyataan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Butterworth semalam membatalkan keputusan majistret yang menolak ikat jamin terhadap tiga kanak-kanak berusia 11 hingga 12 tahun itu. Sebelum ini, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap seorang.

Glorene menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi itu, namun berkata ia tidak dapat menghilangkan rasa takut, malu dan kemungkinan trauma yang dialami kanak-kanak berkenaan.

"Penggunaan gari yang dilaporkan, penahanan awal mereka dan kebimbangan mengenai penterjemahan bahasa menimbulkan persoalan serius sama ada prosedur yang mengambil kira keperluan kanak-kanak serta perlindungan undang-undang dipatuhi dengan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia turut mempersoalkan sama ada kanak-kanak itu akan dilayan dengan cara sama sekiranya mereka rakyat Malaysia daripada keluarga berada.

"Adakah kita sudah lupa bahawa Malaysia mempunyai Akta Kanak-Kanak? Adakah kita sudah lupa bahawa Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak pada 1995?

"Atau adakah perlindungan ini tidak lagi penting apabila kanak-kanak terbabit ialah pelarian, migran atau warga asing?" soalnya.

Sehubungan itu Glorene menggesa kerajaan, polis, badan kehakiman dan agensi berkaitan supaya menyemak semula cara kanak-kanak itu dikendalikan sepanjang kes berkenaan.

Glorene turut meminta Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suhakam campur tangan bagi memastikan mereka mendapat bantuan guaman dan sokongan psikososial yang diperlukan, selain menuntut prosedur pengendalian kes kanak-kanak diperkukuh.

Katanya, dakwaan salah laku tetap perlu disiasat dan mangsa berhak mendapat keadilan. Namun, tindakan terhadap kanak-kanak perlu mengambil kira usia serta kepentingan mereka.

Majistret tolak ikat jamin walaupun dicadangkan pendakwaan

Ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam semalam kerana mengugut seorang wanita berusia 71 tahun. Kejadian itu didakwa berlaku selepas mereka bertengkar di sebuah taman permainan di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Majistret Roshayati Radellah menolak permohonan ikat jamin mereka walaupun Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan, mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap seorang.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Butterworth membatalkan keputusan itu pada hari sama dan membenarkan ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan dibebaskan sementara menunggu perbicaraan.

Peguam Anbananthan Yathiraju, yang mewakili mereka bersama Satia Raj menerusi Pusat Bantuan Guaman Pulau Pinang, memberitahu Malaysiakini bahawa keluarga kanak-kanak itu lega dengan keputusan berkenaan.

"Kanak-kanak itu diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak menghubungi mangsa atau menghampiri premisnya bagi menjaga kebajikannya," katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan ikat jamin RM4,000 bagi setiap kanak-kanak dengan seorang penjamin.

Anbananthan mempersoalkan keputusan majistret tersebut, lebih-lebih lagi kerana pihak pendakwaan sendiri mencadangkan supaya mereka dibenarkan ikat jamin.

"Kami berhujah bahawa di bawah Seksyen 84 Akta Kanak-Kanak 2001, ikat jamin perlu diberikan.

"Selain itu, ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan mereka berhak mendapat ikat jamin," katanya.

Dia berkata undang-undang memberi hak kepada kanak-kanak itu untuk mendapat ikat jamin dan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menolaknya.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah Majistret menetapkan 10 Nov ini untuk penyerahan dokumen dan pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membacakan semula pertuduhan kepada kanak-kanak itu.

Maklumat lanjut mengenai kes berkenaan belum diperoleh. Majlis Peguam dilaporkan akan memberikan maklumat tambahan minggu depan.

Didakwa ugut wanita warga emas

Kes itu berpunca daripada kejadian pada 22 Okt lalu apabila tiga kanak-kanak itu didakwa mengugut untuk mencederakan seorang wanita berusia 71 tahun menggunakan beberapa objek, termasuk batang mop, besi, tiub lampu kalimantang dan batu.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas wanita berkenaan menegur mereka kerana membuat bising ketika bermain di taman permainan.

Menurut laporan Harian Metro, wanita itu tidak mengalami kecederaan tetapi terkejut dengan kejadian berkenaan sehingga membuat laporan polis.

Polis kemudian menahan empat kanak-kanak lelaki Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun itu pada 27 Okt lalu bagi membantu siasatan.