Akta Kanak-Kanak 2001 melindungi semua kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan, kata aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainudin yang mempersoalkan layanan pihak berkuasa terhadap empat kanak-kanak Myanmar yang ditahan berhubung dakwaan ugutan jenayah.

Pengasas Yayasan Chow Kit itu dipetik FMT menegaskan undang-undang berkenaan tidak membezakan kanak-kanak berdasarkan kewarganegaraan.

Dia mengkritik penahanan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun serta keputusan majistret menolak permohonan jaminan tiga lagi kanak-kanak Myanmar. Hartini mempersoalkan sama ada kanak-kanak warga Malaysia akan menerima layanan sama undang-undang atau tidak.

“Selepas 30 tahun melakukan kerja ini, saya tidak fikir kita akan bertindak begitu.

Gambar fail, Hartini di Yayasan CHow Kit.

"Kita akan menghubungi ibu bapa, melibatkan pegawai kebajikan, menjadi pengantara antara jiran dan menggunakan Akta Kanak-Kanak seperti yang dimaksudkan Parlimen,” katanya.

Semalam, kumpulan hak migran Tenaganita mempersoalkan jika langkah perlindungan kanak-kanak dipatuhi dalam pengendalian kes itu, termasuk laporan penggunaan gari ketika mereka dibawa ke mahkamah.

Hartini menegaskan akta berkenaan “tidak mempunyai klausa kewarganegaraan” dan perlindungannya perlu terpakai secara sama rata kepada kanak-kanak pelarian dan migran.

“Cara negara bertindak terhadap kanak-kanak ini sepatutnya membimbangkan sesiapa yang bekerja dalam bidang perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menolak permohonan jaminan tiga kanak-kanak lelaki Rohingya, dua berusia 11 tahun dan seorang lagi berusia 12 tahun, yang didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga emas.

Mahkamah Tinggi Butterworth kemudian mengetepikan keputusan itu dan membenarkan ketiga-tiganya dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Ketiga-tiga mereka bersama kanak-kanak berusia sembilan tahun itu ditahan pada 27 Oktober dan berada dalam tahanan selama empat hari.

‘Tiada asas tahan kanak-kanak sembilan tahun sebagai suspek’

Hartini mempersoalkan sebab kanak-kanak paling muda itu ditahan sedangkan Kanun Keseksaan mengecualikan kanak-kanak bawah 10 tahun daripada tanggungjawab jenayah.

“Tiada asas yang sah di sisi undang-undang untuk menahan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun sebagai suspek,” katanya.

Dia turut menegaskan kanak-kanak bawah 14 tahun tidak boleh dijatuhi hukuman penjara walaupun didapati bersalah.

Bagaimanapun, ketika bercakap kepada Malaysiakini, peguam Anbananthan Yathiraju yang mewakili kanak-kanak itu bersama Satia Raj menerusi Pusat Bantuan Guaman Pulau Pinang menjelaskan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun itu sudah dibebaskan.

“Saya bercakap dengan timbalan pendakwa raya, hanya tiga orang didakwa. Kanak-kanak berusia sembilan tahun itu sudah dibebaskan,” kata Anbananthan.

Dalam pada itu, Hartini berkata pihak berkuasa sepatutnya menggunakan peruntukan perlindungan dalam Akta Kanak-Kanak, termasuk yang mengawal penahanan dan pembebasan kanak-kanak.

Dia turut menyoal sekiranya ketiga-tiga kanak-kanak itu memahami pertuduhan terhadap mereka.

Walaupun mahkamah menyediakan jurubahasa, Hartini berkata ramai kanak-kanak Rohingya tidak bertutur dalam bahasa Burma, bahasa rasmi Myanmar.

Katanya, kanak-kanak yang tidak memahami pertuduhan tidak dapat memberikan jawapan sewajarnya terhadap pertuduhan itu.

Hartini turut bertanya sekiranya liputan media mengenai kes berkenaan mematuhi Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, yang mengehadkan penyiaran maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit dalam prosiding undang-undang.

Dia mengkritik penggunaan gambar kanak-kanak itu ketika dibawa ke mahkamah, selain laporan yang mendedahkan alamat jalan tempat tinggal mereka serta maklumat keluarga mereka tinggal bersebelahan rumah pengadu.

“Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak diwujudkan untuk mencegah perkara seperti ini,” katanya.

Ketiga-tiga kanak-kanak lelaki itu didakwa bersama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, atas pertuduhan mengugut untuk mencederakan wanita berkenaan menggunakan beberapa objek, termasuk mop, batang besi, tiub lampu kalimantang putih dan batu.