DAP menggesa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pendedahan itu tertakluk kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Itu memang pendirian kita. Kita nak minit mesyuarat itu didedahkan. Tapi, ia tertakluk kepada budi bicara AGC," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan di Bangsar, hari ini.

Ditanya sama ada DAP sudah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Loke yang juga menteri pengangkutan berkata parti itu sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

""Memang kita telah menyatakan hasrat ini kepada Perdana Menteri. Tetapi perlu ada prosedur untuk diklasifikasi minit tersebut.

"Jadi, sama ada bila dijelaskan dan sebagainya itu terpulang kepada pihak AGC," katanya.," kata Loke.

Desakan dedah minit

Sebelum ini, beberapa pemimpin DAP termasuk bekas ahli parlimen Tony Pua dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teo Nie Ching menggesa minit berkenaan didedahkan bagi memperjelas pendirian wakil kerajaan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Desakan itu timbul ketika DAP dan Pakatan Harapan (PH) berdepan kritikan berhubung persepsi kegagalan mereka menghalang Najib mendapat pengampunan.

DAP dan PH pula berhujah keputusan pengampunan tertakluk kepada kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Pua dan Teo berpendapat hanya penyahklasifikasian serta pendedahan minit mesyuarat itu dapat menjelaskan perkara sebenar dan membuktikan menteri PH tidak membuka laluan kepada Najib melalui sistem berkenaan.

Sementara itu, ahli parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa Jabatan Penjara menjelaskan kepada umum terma dan syarat tahanan rumah Najib.

Katanya, orang ramai berhak mengetahui perkara yang dibenarkan untuk dilakukan bekas perdana menteri itu ketika menjalani tahanan rumah.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International.

Dalam mesyuarat pada 29 Januari 2024 yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diumumkan pada 2 Februari 2024, dengan tarikh tamat hukuman SRC ditetapkan pada 23 Ogos 2028 sekiranya denda dibayar.

Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak

Pada 18 September tahun ini, Najib diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman SRC secara tahanan di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat yang ditetapkan.

Najib turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB pada 26 Disember 2025, yang diperintahkan bermula selepas hukuman SRC. Dia merayu terhadap sabitan dan hukuman itu.

DAP sokong CSA demi kestabilan politik

Dalam perkembangan lain, Loke turut mengulas mengenai Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) antara kerajaan Madani dengan 13 ahli parlimen pembangkang dan bebas.

Dia berkata DAP bersetuju secara prinsip demi menjamin kestabilan politik negara.

"Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju mengelakkan istilah sokongan membabi buta.

"Sebaliknya menumpukan kepada memorandum persefahaman untuk menyokong bajet serta mengelakkan sebarang percubaan menjatuhkan kerajaan pertengahan jalan," katanya.

Ahli parlimen Seremban itu turut mengingatkan pendekatan sedemikian bukan perkara baru bagi DAP.

"Semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dulu, kita pernah menandatangani perjanjian yang sama bersama Perdana Menteri.

"Bukan bermaksud kita menyokong Ismail Sabri pada ketika itu, cuma kita nak memastikan ada kestabilan politik dan tidak ada mana-mana pihak yang cuba tebuk atap untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Atas semangat itu, kita menandatangani memorandum persefahaman dengan Ismail Sabri pada ketika itu. Jadi semangat yang sama terpakai untuk sekarang," jelasnya.

Dia menambah ruang rundingan itu tidak terhad kepada ahli parlimen tertentu, sebaliknya terbuka kepada mana-mana ahli parlimen pembangkang yang mahu berbincang.

"Mereka kekal sebagai pembangkang, bukannya masuk kerajaan.

"Cuma apa yang kita nak ialah supaya ada persefahaman, supaya tidak ada mana-mana muslihat dalam parlimen untuk menjatuhkan kerajaan dan menyebabkan krisis politik berulang seperti tahun 2020.

"Atas semangat itu, kita memang bersetuju dan kepentingan peruntukan kawasan parlimen itu perlu diinstitusikan," katanya.

Majlis pemeteraian CSA pada 29 Oktober

Pada 29 Oktober, kerajaan memeterai CSA dengan enam ahli parlimen Bersatu yang diketuai presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, enam ahli parlimen Bebas yang pernah menganggotai Bersatu dan menyokong Anwar, serta ahli parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menerusi perjanjian itu, ahli parlimen terbabit bersetuju menyokong Belanjawan 2027 dan pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal Parlimen.

Sebagai balasan, mereka akan menerima peruntukan pembangunan kawasan yang setara dengan ahli parlimen penyokong kerajaan.