Jabatan Imigresen (JIM) meminta individu yang mempunyai maklumat atau bukti berhubung dakwaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas membabitkan beberapa pegawainya di Kuala Lumpur, supaya tampil membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata maklumat berkenaan boleh disalurkan terus kepada JIM atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

“Penyaluran maklumat secara terus kepada pihak berkuasa amat penting, bagi memastikan kerahsiaan maklumat dan integriti bahan bukti dapat dipelihara.

“Pendedahan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki menyalahi undang-undang secara terbuka sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa, dikhuatiri boleh menyebabkan pihak terlibat menghentikan kegiatan, mengubah modus operandi atau menghapuskan bahan bukti, sekali gus menyukarkan proses siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Zakaria berkata JIM sentiasa terbuka menerima maklumat berkaitan salah laku pegawai dan memberi jaminan setiap maklumat yang diterima, akan diteliti serta disalurkan untuk tindakan mengikut undang-undang dan peraturan berkuat kuasa.

Beliau berkata JIM memandang serius dakwaan berkenaan penyelewengan pengeluaran Pas Khas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran integriti oleh pegawai jabatan itu tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Sebagai bukti komitmen memperkukuh integriti dan akauntabiliti, Zakaria berkata sebanyak 849 pegawai Imigresen dikenakan tindakan tatatertib secara kumulatif bagi tempoh 2023 hingga Oktober tahun ini, termasuk 73 pegawai dibuang kerja.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, 96 pegawai dikenakan tindakan tatatertib, termasuk 18 dibuang kerja.

“Statistik ini mencerminkan ketegasan JIM dalam mengambil tindakan terhadap pegawai yang didapati melakukan pelanggaran tatatertib, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

“JIM akan terus memperkukuh aspek integriti, pematuhan prosedur dan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan dilaksanakan secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

- Bernama