Liga Arab pada Ahad menggesa siasatan antarabangsa yang bebas dijalankan berhubung dakwaan penyeksaan dan penderaan sistematik terhadap rakyat Palestin dari Gaza yang ditahan di Penjara Ramla, Israel, selain menuntut pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan, Liga Arab mengecam serangan berulang terhadap tahanan di sayap Rakevet fasiliti berkenaan yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan melecur.

Liga Arab menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva dan Konvensyen Menentang Penyeksaan, selain menegaskan bahawa perbuatan berkenaan merupakan "jenayah terhadap kemanusiaan".

Pertubuhan itu menuntut supaya penderaan dihentikan serta-merta dan menggesa Israel membenarkan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) serta pemantau bebas memasuki penjara tanpa sekatan bagi mendokumentasikan keadaan tahanan dan menyediakan rawatan perubatan.

Liga Arab turut menggesa pembebasan segera tahanan yang sakit dan cedera serta penahanan secara sewenang-wenangnya ditamatkan.

Kenyataan itu menyusul laporan Pejabat Media Tahanan Palestin pada 27 Okt yang memperincikan serangan berulang terhadap tahanan dari Gaza.

Menurut pejabat itu, serangan berkenaan berlaku pada setiap Jumaat dan Sabtu, membabitkan tindakan memukul tahanan menggunakan belantan serta penggunaan semburan lada, gas, peluru getah dan stun grenades.

Pejabat itu turut melaporkan bahawa pengawal penjara memasuki sebuah sel bersama anjing polis sebelum membawa tahanan ke bilik tanpa kamera pengawasan, tempat mereka diserang.

Pejabat berkenaan memberi amaran bahawa penderaan berterusan mengancam nyawa tahanan, khususnya mereka yang sakit atau cedera.

Liga Arab turut menggesa masyarakat antarabangsa, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perhimpunan Agung PBB mengambil tindakan bagi melindungi tahanan Palestin serta menamatkan amalan kekebalan daripada hukuman.

Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada Israel berhubung kenyataan itu.