Kelantan peruntuk RM10.86 juta baik pulih rumah 1,034 keluarga miskin
Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan lebih RM10.86 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah dan menyediakan sumbangan bahan binaan kepada golongan miskin serta kurang berkemampuan di negeri itu pada 2024 dan 2025.
Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud berkata sebanyak 1,034 bantuan disalurkan dalam tempoh berkenaan menerusi Program Bantuan Rumah Dhuafa’ yang dilaksanakan Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 473 bantuan dilaksanakan pada 2024 dengan perbelanjaan RM5.04 juta, manakala 561 bantuan disalurkan pada 2025 membabitkan peruntukan RM5.811 juta.
“Bantuan berkenaan meliputi kerja-kerja baik pulih kediaman serta sumbangan bahan binaan mengikut keperluan dan tahap kerosakan rumah penerima yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata pemilihan penerima bantuan dilaksanakan melalui proses permohonan, siasatan dan pengesahan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan, tertakluk kepada syarat kelayakan serta peruntukan semasa.
Beliau berkata selain bantuan baik pulih dan sumbangan bahan binaan, kerajaan negeri turut menyediakan 180 unit rumah baharu setiap tahun menerusi program sama di seluruh Kelantan.
“Setiap unit rumah bernilai RM65,000 dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM11.7 juta setahun. Insya-Allah, kita akan membantu lebih ramai golongan ini,” katanya.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/08/0854ea9d24fd0316a43e001ebcccd9cb.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.