Calon Pakatan Harapan (PH) bersedia mengadakan debat terbuka dengan calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA yang bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi membincangkan isu berkaitan negeri dan kebajikan rakyat.

Timbalan Pengerusi PH Melaka Khoo Poay Tiong berkata kesediaan itu susulan cabaran Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong kepada calon PH bagi DUN Banda Hilir supaya debat antara calon diadakan di kawasan berkenaan.

“Oleh itu, PH mencadangkan supaya debat ini diperluas dengan melibatkan calon kedua-dua parti di empat kawasan yang ditandingi MCA dan PH.

“Empat calon PH yang terlibat ialah Low Chee Leong bagi DUN Kota Laksamana, Leng Chau Yen (Banda Hilir), Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) dan Ginie Lim (Machap Jaya),” katanya pada sidang media harian PH di Bukit Piatu di Melaka hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Howard Lee Chuan How.

Khoo yang juga Pengerusi DAP Melaka berkata debat itu boleh diadakan di lokasi neutral yang dipersetujui kedua-dua pihak, dengan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkecuali sebagai pengantara bagi memastikan perbincangan berlangsung secara adil.

Beliau turut mencadangkan penggunaan bahasa Melayu sepanjang debat itu berlangsung bagi membolehkan rakyat Melaka daripada pelbagai latar belakang memahami hujah dan pendirian yang diketengahkan oleh kedua-dua pihak.

“Debat ini boleh diadakan secepat mungkin sebelum 14 Nov,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata PH turut mencadangkan supaya perdebatan melibatkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti bagi membincangkan dasar negara yang mempunyai kaitan dengan Melaka.

Beliau berkata perdebatan terbuka dapat menjadi platform untuk kedua-dua pihak menjelaskan dasar dan pendirian masing-masing kepada rakyat, sekali gus menggalakkan persaingan idea secara telus dalam amalan demokrasi.

Pengundian awal bagi PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov ini.

- Bernama