Mafia korporat: Ahli parlimen ragui siasatan AG, desak RCI
PARLIMEN | Beberapa ahli parlimen daripada pelbagai parti hari ini mempersoalkan kebebasan dan ketelusan siasatan kerajaan terhadap dakwaan “mafia korporat”, dengan gesaan supaya siasatan bebas dijalankan.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata keputusan melantik peguam negara mengetuai siasatan, sambil mengekalkan SPRM dalam pasukan penyiasat, boleh menimbulkan kebimbangan mengenai konflik kepentingan dan menjejaskan keyakinan awam.
Katanya, SPRM sendiri turut dikaitkan dengan dakwaan yang sedang disiasat.
Dia membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
/file/attachments/orphans/parlimenmalaysia14_607065.png)
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pula mengulangi gesaan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi membolehkan siasatan bebas dijalankan dan dapatannya diteliti orang ramai.
Menurutnya, langkah itu penting untuk menentukan kebenaran dakwaan dalam laporan siasatan Bloomberg.
Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menyokong gesaan berkenaan dan meminta Putrajaya menjelaskan sama ada kerajaan mengambil sebarang tindakan susulan untuk menubuhkan RCI.
Mengulas lanjut, Hassan merujuk pendedahan Kementerian Dalam Negeri mengenai pembekuan dan penyitaan aset bernilai lebih RM400 juta berhubung siasatan berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/5e4551a05ca0ff7fa9cabb4cc0ff101e.jpg)
Dia menyifatkan pendedahan itu sebagai pengakuan mengenai kewujudan gejala “mafia korporat”.
“Bagi saya, pengakuan yang disebut oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen ini adalah mengesahkan wujudnya gejala mafia korporat ini, by admission Menteri mengaku wujudnya mafia korporat ini,” kata veteran PKR itu.
Dalam jawapan bertulis yang dilaporkan pada 28 Okt, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan polis membekukan atau menyita lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata tiada pegawai SPRM dikenal pasti dalam kalangan saksi yang dipanggil membantu siasatan Op Viking.
/file/attachments/orphans/SaifuddinNasutionIsmail3_296279.png)
“Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai SPRM terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Mas Ermieyati menggesa Akta SPRM 2009 dipinda bagi memperkukuh kebebasan pelantikan, siasatan, prosiding salah laku dan pengawasan parlimen.
Dia turut mempersoalkan komitmen kerajaan membanteras rasuah, sambil merujuk penggunaan istilah “sakau” oleh Anwar dalam majlis kerajaan.
“Tetapi kalau tidak diterjemahkan kepada kesediaan pihak penguat kuasa seperti SPRM untuk memastikan perkara ini dapat diketahui dengan jelas pendakwaan dan juga penyiasatannya dengan lebih baik.
“Jadi, bagaimana kita nak mengangkat kepercayaan rakyat kepada pihak SPRM?” katanya.
/file/attachments/orphans/SS1ddd_297864.png)
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) pula mempersoalkan pengumuman satu lagi jawatankuasa siasatan sedangkan jawatankuasa sudah ditubuhkan pada awal tahun ini.
Dia meminta kerajaan menjelaskan perbezaan terma rujukan antara kedua-dua jawatankuasa serta dapatan siasatan terdahulu yang masih belum didedahkan kepada umum.
“Ini penting supaya kita faham dan supaya tindakan lanjut melalui penggubalan dasar dapat dilakukan,” katanya.
Laporan diminta siap dalam tiga bulan
Pada 20 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetuai pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat”.
Pasukan itu melibatkan SPRM, polis, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penyiasat jenayah pengubahan wang haram.
Anwar meminta laporan lengkap disiapkan dalam tempoh tiga bulan dan didedahkan kepada umum, sambil menegaskan tiada sesiapa akan dilindungi.
/file/attachments/orphans/4353553453543_961863.png)
Dalam kenyataan pada 28 Okt, Jabatan Peguam Negara memaklumkan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti, tanpa terhad kepada individu atau syarikat tertentu.
Laporan hasil siasatan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut sebelum dimaklumkan kepada orang ramai.
Pada Februari, Bloomberg melaporkan dakwaan sekumpulan tokoh perniagaan bersubahat dengan pegawai kanan SPRM untuk mengambil alih syarikat tempatan dengan menekan pemiliknya supaya melepaskan saham dan kawalan syarikat.
Kontroversi itu turut mengaitkan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki, bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, serta ahli perniagaan Victor Chin.
SPRM dan Azam menolak dakwaan persubahatan berkenaan. Farhash juga menafikan dakwaan yang mengaitkannya, manakala Chin mendakwa dia dijadikan kambing hitam.
BACA LAGI: PANDUANKINI | Mafia korporat – Ini yang anda perlu tahu
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/ad25d8a9919f9d3141dc9c39b26e05aa.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.